- Kategori: BERITA - Malay
- Ditulis oleh Aininulniza
UniMAP Tersenarai Dalam THE Young University Rankings 2020
Oleh : Suhana Abd Mutalib
KANGAR, 24 Jun: Universiti Malaysia Perlis (UniMAP) buat julung kalinya menempatkan diri dalam carta THE Young University Rankings 2020 yang dikeluarkan Times Higher Education (THE) hari ini.
UniMAP berada dalam kelompok 151-200 universiti terbaik di dunia yang berusia di bawah 50 tahun bersama-sama dua lagi universiti iaitu Universiti Putra Malaysia (UPM) dan Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM).
Naib Canselornya, Prof. Ir. Ts. Dr. R Badlishah Ahmad, berkata pencapaian tersebut adalah sesuatu yang membanggakan bagi sebuah universiti yang baru berusia 18 tahun dengan jumlah pelajar sekitar 15,000 orang.
Menurut beliau, penilaian tersebut menggunakan data yang sama bagi THE World University Rankings yang diumumkan tahun lalu namun dengan pemberat yang berbeza bagi menyesuaikan dengan kategori universiti muda.
“Indikator penilaian kekal sama iaitu bagi aspek Pengajaran sebanyak 30 peratus, Penyelidikan (30 peratus), Sitasi (30 peratus), Pengantarabangsaan (7.5 peratus) dan Penjanaan Industri sebanyak 2.5 peratus.
“Sistem penarafan ini bukanlah faktor terpenting yang dijadikan kayu pengukur prestasi dan kedudukan UniMAP berbanding universiti awam lainnya, namun ia secara tidak langsung mampu membantu universiti untuk memperbaiki kekurangan yang ada berdasarkan petunjuk yang dinilai oleh THE,” ujar beliau dalam satu kenyataan di sini hari ini.
Selain UniMAP, UKM dan UPM turut tersenarai ialah Universiti Teknologi Malaysia (UTM), Universiti Teknologi Petronas (UTP) dan Universiti Tunku Abdul Rahman (UTAR) yang berada pada kelompok 101-150; Universiti Utara Malaysia (UUM) pada kedudukan 201-250 dan Universiti Tenaga Nasional dalam kelompok 251-300.
Tiga lagi universiti iaitu Universiti Malaysia Sarawak (UNIMAS), Universiti Multimedia (MMU) dan Universiti Teknologi Mara (UiTM) juga tersenarai dan berada pada kelompok 351-400 universiti terbaik.
Mengulas lanjut, Prof. R Badlishah berkata, pencapaian yang diraih itu bukanlah tiket untuk UniMAP terus berpuas hati dengan pencapaian sedia ada sebaliknya pelbagai inisiatif baharu perlu dirangka bagi meningkatkan lagi reputasi UniMAP dalam kalangan industri strategik dan rakan kerjasama antarabangsa.
“UniMAP tidak boleh berpuas hati dengan pencapaian ini. Data ini akan dinilai dari semasa ke semasa, justeru adalah penting untuk UniMAP terus memastikan peningkatan dalam kesemua aspek penilaian memandangkan setiap penilaian mewakili teras utama sesebuah universiti.
“Justeru adalah penting untuk kami memastikan teras utama itu kekal pada tahap yang terbaik dan memberi manfaat kepada pemegang taruh utama iaitu pelajar,” ujarnya lagi.