A+ A A-

UniMAP Sedia Insentif Rm1.18 Juta Untuk Kemudahan Pelajar B40 Pasca-COVID-19

Oleh : Suhana Abd Mutalib

Arau – Universiti Malaysia Perlis (UniMAP) menyediakan peruntukan berjumlah RM1.18 juta bagi membantu pelajar bagi kategori B40 melalui pelancaran Insentif Khas Kasih UniMAP yang disiarkan secara langsung menerusi laman rasmi Facebook UniMAP hari ini.

Naib Canselornya, Prof. Ir. Ts. Dr. R Badlishah Ahmad berkata, bantuan tersebut merupakan sebahagian daripada komitmen berterusan UniMAP dalam membantu pelajar terutama dalam tempoh Pasca-COVID-19 bagi membolehkan mereka menjalani proses pengajaran dan pembelajaran dengan lebih baik.

“Menerusi peruntukan ini, sebanyak tujuh insentif kecil telah diperincikan untuk disesuaikan dengan keperluan pelajar secara keseluruhannya. UniMAP amat berharap pelancaran insentif ini sekurang-kurangnya akan memberi suntikan motivasi kepada pelajar untuk menguruskan kewangan dan kemudahan pengajaran.

“Pihak Pusat Pembangunan dan Perkhidmatan Pelajar (P3P) akan mengenal pasti pelajar yang terlibat dan butiran lanjut berkaitan bantuan akan diumumkan dari masa ke masa,” ujarnya.

 

Mengulas lanjut, Prof. R Badlishah berkata, insentif pertama yang ditawarkan kepada pelajar ialah bantuan penginapan percuma berjumlah RM250,000 susulan sumbangan yang diterima daripada dua organisasi iaitu Permodalan Nasional Berhad (PNB) sebanyak RM 100,000 dan Bank Pembangunan Malaysia berjumlah sebanyak RM 150,000.

Jelasnya, melalui bantuan ini, seramai 130 orang pelajar telah terpilih untuk tinggal di asrama secara percuma untuk tempoh empat semester bermula semester akan datang.

“Bagi insentif kedua pula, pihak UniMAP juga akan menyediakan peruntukan data internet berjumlah RM280,000 yang disasarkan kepada lebih 7,000 orang pelajar golongan B40 melalui pelasanaan secara berfasa.

“Pihak UniMAP juga turut menyediakan 10 buah komputer riba kepada 10 penerima yang layak selain insentif wang tunai berjumlah RM500,000 melalui Tabung Zakat UniMAP. Yang dianggarkan akan memberi manfaat kepada sekitar 1,600 orang penerima,” ujarnya.

Menurut Prof. R Badlishah, insentif kelima yang disediakan kepada pelajar ialah melalui penyediaan peluang pekerjaan melalui Skim Tabung Dedikasi Diri yang membolehkan sekitar 50 orang pelajar bekerja secara sambilan untuk tempoh 6 bulan bekerja di dalam kampus.

“Bagi menyuburkan nilai keusahawanan dan inovasi dalam kalangan pelajar, UniMAP turut menyediakan Insentif Keusahawanan serta Insentif Inovasi untuk projek tahun akhir dengan nilai peruntukan bagi kedua-dua insentif ini ialah berjumlah RM25,000 setiap satu,” jelasnya lagi.

 

Tagged under: UniMAP, berita, Covid19,