A+ A A-

UniMAP Sumbang Penyelidikan Cegah COVID-19 ke Sekolah

Oleh : Nurul Aida Othman

CHANGLUN, 16 Julai – Dalam memastikan pandemik COVID-19 dapat dikekang dan dicegah sepenuhnya, Universiti Malaysia Perlis (UniMAP) tampil meneruskan aktiviti khidmat sosialnya untuk bagi membantu masyarakat apabila menyumbang hasil penyelidikan itu untuk kegunaan sekolah.

Sistem 3 dalam 1 iaitu Pengesanan Automatik Suhu Badan dan Sistem Kehadiran dengan sanitizer diserahkan oleh Pemangku Timbalan Naib Censelor Penyelidikan dan Inovasi UniMAP, Prof. Dr. Mohd. Mustafa Al-bakri Abdullah kepada Guru Besar Sekolah Kebangsaan Dato Wan Kemara, Mohd Nizam Saidin di sekolah tersebut baru-baru ini.

 

Menurut Prof. Mohd Mustafa, ia adalah sistem 3 dalam 1 yang berfungsi secara automatik dan tanpa sentuhan serta menggunakan kaedah pengesanan wajah (face recognition) untuk merekod kehadiran pelajar

“Sistem yang menggunakan capaian internet ini boleh menyimpan semua maklumat atau data yang diterimanya. Malah ia turut boleh membaca dan merekod suhu badan serta dilengkapi dengan sistem sanitasi tangan.

“Sumbangan ini adalah hasil penyelidikan Pusat Pengajian Kejuruteraan (PPK) Mekatronik dan Pusat Pengajian Diploma (PPD), UniMAP yang di ketuai oleh Dr. Marni Azira bersama penyelidik Ts. Erdy Sulino, Dr Allan Melvin, Dr Che Wan Sharifah Robiah dan Asyraf Hakimi,” katanya.

Tambah Mustafa lagi, penyerahan sistem ini kepada SK Dato Wan Kemara Changlun adalah sebagai satu sumbangan UniMAP kepada sekolah angkatnya yang juga merupakan sekolah yang paling aktif di negeri Kedah.