A+ A A-

Bank Islam Sumbang RM30,000 Kepada Tabung Zakat UniMAP

Oleh : Aininulniza Binti Mohd Yusof

PAUH PUTRA, 8 Ogos 2020 : Universiti Malaysia Perlis (UniMAP) hari ini menerima sumbangan wang zakat sebanyak RM30,000 daripada Bank Islam Malaysia Berhad (Bank Islam) dalam satu majlis ringkas di ruang legar Dewan Senat, Bangunan Canselori di sini, hari ini.

Cek sumbangan tersebut telah disampaikan oleh Ketua Pegawai Eksekutif Bank Islam, Tuan Mohd Muazzam Mohamed kepada Naib Canselor UniMAP, Prof Ir. Dr. R Badlishah Ahmad.

Dr. R Badlishah berkata pihak UniMAP amat berbesar hati kerana tersenarai antara penerima sumbangan zakat Bank Islam yang sememangnya sudah terkenal sebagai institusi kewangan Islam yang kukuh di negara ini.

 

“Melalui sumbangan zakat seperti ini menggambarkan komitmen berterusan pihak Bank Islam kepada bidang pendidikan kerana ia merupakan nadi penggerak kepada pembangunan sesebuah negara.

“Sumbangan zakat yang diterima ini akan disalurkan kepada pelajar-pelajar UniMAP yang layak menerimanya menerusi Tabung Zakat UniMAP di bawah kelolaan Jabatan Hal Ehwal Pelajar dan Alumni (JHEPA),” katanya.

Turut berkenan berangkat hadir ke majlis ringkas berkenaan ialah Tuanku Canselor UniMAP, Raja Muda Perlis Tuanku Syed Faizuddin Putra Jamalullail dan Tuanku Pro Canselor, Raja Puan Muda Perlis Tuanku Lailatul Shahreen Akashah Khalil.

Hadir sama Timbalan-timbalan Naib Canselor UniMAP dan delegasi Bank Islam Kuala Lumpur dan Wilayah Utara.

Tambah beliau, sehingga kini seramai 650 orang pelajar UniMAP telah menerima sumbangan wang zakat yang disalurkan menerusi tabung berkenaan.

“Saya berharap melalui wang sumbangan ini para pelajar yang berhadapan dengan masalah kewangan akan dapat dibantu dan dalam masa yang sama mereka dapat menumpukan sepenuh perhatian dalam pembelajaran khususnya selepas berhadapan dengan pandemik COVID-19 yang turut memberi kesan mendalam terhadap ekonomi di negara kita serta global,” katanya.

Sementara itu, Tuan Mohd Muazzam berkata penularan COVID-19 memberikan impak negatif kepada kehidupan dan sumber pendapatan segenap masyarakat.
“Lantas, kami amat berbesar hati mempercepatkan sumbangan zakat tahun ini agar ia dapat mengurangkan beban yang dialami pelajar dalam meneruskan pengajian mereka.

“Semoga dana zakat ini dimanfaatkan sebaik mungkin dan membentuk insan berilmu dan cemerlang yang akan menyumbang terhadap kemakmuran negara,” kata beliau.
Selain sumbangan berkenaan, dalam majlis itu UniMAP turut menandatangani perjanjian persefahaman (MoU) dengan Bank Islam bagi menggubal rangka kerjasama urusan perbankan universiti berkenaan.

Menerusi kerjasama itu, Bank Islam berperanan menjadi peneraju kepada kaedah pembayaran tanpa tunai (cashless) bertujuan mewujudkan komuniti tanpa tunai (cashless society) dan memberi pendedahan berterusan kepada masyarakat mengenai kaedah pembayaran secara digital di samping penggunaan kad debit secara meluas oleh kakitangan dan pelajar UniMAP.

Terdahulu, satu Majlis Simbolik Penerimaan Pelajar Baharu Diploma UniMAP Sidang Akademik 2020/2021 telah diadakan dengan 635 mahasiswa mendaftar bagi enam program Diploma yang ditawarkan.

 

Tagged under: UniMAP, MoU, BankIslam ,