- Kategori: BERITA - Malay
- Ditulis oleh Aininulniza
635 Pelajar Diploma UniMAP Mendaftar Dalam Norma Baharu
Oleh: Mohd Basri Basir
PAUH PUTRA, 8 Ogos – Seramai 635 pelajar baharu Diploma bagi sesi akademik 2020/2021 Universiti Malaysia Perlis (UniMAP) mendaftar dalam suasana norma baharu hari ini apabila kesemua proses pendaftaran berlangsung secara dalam talian.
Ini termasuk penganjuran Minggu Suaikenal (MSK) yang turut dilakukan secara dalam talian berikutan situasi semasa pandemik COVID-19 yang melanda beberapa negeri di utara tanah air.
Naib Canselor UniMAP, Prof. Ir. Ts. Dr. R. Badlishah Ahmad berkata, kewujudan kluster Sivagangga di Napoh, Kedah yang tidak jauh jaraknya dengan UniMAP turut mengundang resah kepada pihak pengurusan universiti itu.
“Justeru, penganjuran pendaftaran secara dalam talian merupakan langkah selamat bagi membantu menghentikan penularan wabak ini.
“Saya amat menghargai kepercayaan ibu bapa kerana memilih UniMAP sebagai termpat untuk menimba ilmu. Insya Allah, kepercayaan tuan-tuan dan puan-puan sekalian akan kami manfaatkan sebaiknya,” katanya ketika berucap pada Majlis Taklimat Kepada Waris Minggu Suai Kenal Diploma Sidang Akademik 2020/2021, di Auditorium Canselori, di sini.
Turut hadir, Timbalan Naib Canselor Akademik dan Antarabangsa UniMAP, Prof. Ir. Ts. Dr. Mohd. Rizal Arshad dan Timbalan Naib Canselor Hal Ehwal Pelajar dan Alumni UniMAP, Prof. Dr. Mohd Fo’ad Sakdan.
Ujar Dr. R. Badlishah lagi, sebaik sahaja tamat MSK iaitu pada 10 Ogos para pelajar akan kekal berada di lokasi sedia ada masing-masing bagi mengikuti pengajian secara dalam talian bermula 17 Ogos.
“Pada asalnya, UniMAP memutuskan untuk membenarkan pelajar hadir ke kampus mengikut Prosedur Operasi Standard (SOP) yang telah ditetapkan secara berperingkat.
“Seterusnya para pelajar akan kekal berada di dalam kampus bagi mengikuti proses Pengajaran dan Pembelajaran (PdP) secara dalam talian namun, disebabkan perkembangan terkini wabak COVID-19 di utara iaitu di negeri Perlis dan Kedah, mesyuarat khas yang diadakan Jumaat lalu telah memutuskan agar kebenaran pulang ke kampus ditangguhkan buat sementara waktu,” kata beliau.
Terdahulu, UniMAP menerusi Pejabat Timbalan Naib Canselor Akademik dan Antarabangsa mengeluarkan memo agar para pelajar kembali ke kampus pada awal September selepas menangguhkan kebenaran pelajar hadir ke kampus yang sepatutnya bermula hari ini.