A+ A A-

Naib Canselor UniMAP Dianugerah Kolonel (Kehormat)

Oleh: Suhana Abd Mutalib

Naib Canselor Universiti Malaysia Perlis (UniMAP), Prof. Ir. Ts. Dr. R Badlishah Ahmad telah dianugerahkan tauliah Kolonel (Kehormat) sekaligus kini memikul tugas selaku Komandan bagi memimpin Pasukan Latihan Pegawai Simpanan (PALAPES) UniMAP.

Penganugerahan tersebut telah berlangsung dalam satu majlis ringkas di Markas Tentera Darat,Kementerian Pertahanan Malaysia, hari ini dan disempurnakan oleh Panglima Tentera Darat, Jeneral Datuk Zamrose Mohd Zain.

Selain Prof. R. Badlishah, turut dianugerahkan pangkat yang sama ialah Naib Canselor Universiti Sains Malaysia (USM), Prof. Dr. Faisal Rafiq Mahmad Adikan dan Ketua Pengarah Ukur dan Pemetaan Malaysia, Dato’ Sr Dr. Azhari bin Mohamed.

 

Prof. R Badlishah sewaktu ditemui selepas tamat majlis menzahirkan kesyukuran dan berterima kasih kepada Tentera Darat Malaysia di atas pemakaian pangkat tersebut yang menurut beliau membawa bersama tanggungjawab dan amanah yang cukup besar.

Jelas beliau, Canselor UniMAP sendiri, DYTM Tuanku Syed Faizuddin Putra Jamalullail merupakan Tuanku Komander Rejimen 504 Askar Wataniah Pasukan Simpanan Tentera Darat dan sentiasa komited terhadap peranan dan tanggungjawab yang dipikul oleh anggota beruniform.

“Justeru, melalui penganugerahan pangkat ini, saya selaku Komandan PALAPES UniMAP berharap dapat terus memacu kecemerlangan berterusan pasukan sekaligus memastikan pelajar memberi penekanan kepada aspek ilmu dan kemahiran ketenteraan dalam menjadikan mereka mahasiswa yang lebih dinamik, kental dan berdisiplin tinggi,” ujarnya.

PALAPES UniMAP ditubuhkan pada 26 Ogos 2004 selepas Mesyuarat Majlis Angkatan Tentera ke-431 dan upacara perasmian telah disempurnakan pada tanggal 3 Mac 2005 oleh DYMM Pemangku Raja Perlis (ketika itu), Tuanku Syed Faizuddin Putra Jamalullail.

Mengulas lanjut, Prof. R Badlishah berkata, selepas 16 tahun penubuhan, PALAPES UniMAP kini mara selangkah lagi apabila berjaya menubuhkan kelab Alumni PALAPES UniMAP yang telah dilancarkan secara rasmi pada tahun 2018 yang lalu.

“Melalui penubuhan Alumni PALAPES UniMAP ini, ia akan berfungsi sebagai medium untuk menjalankan pelbagai aktiviti, perkongsian pengalaman dan penyaluran ilmu kepada ahli kelab PALAPES UniMAP.

“Pada masa sama, kita ingin memastikan inisiatif UniMAP untuk menggalakkan penglibatan aktif kesemua Alumni PALAPES dalam aktiviti kesukarelawanan dapat diteruskan meskipun apabila telah bergraduat dan bekerja kelak,” ujarnya lagi.

 

Tagged under: UniMAP, berita, Naib Canselor,