A+ A A-

MIEIP 2020 Tingkatkan Kebolehpasaran Bidang Kejuruteraan Mikroelektronik

Oleh : Aininulniza Mohd Yusof

PAUH PUTRA, 17 Ogos -Seramai 24 pelajar Universiti Malaysia Perlis (UniMAP) antara 102 peserta bagi program MoE Intel Elite Internship Program (MIEIP) Siri ke-2 iaitu program inisiatif Kementerian Pengajian Tinggi (KPT) bersama Intel Malaysia Sdn Bhd.

Program itu berlangsung selama lima minggu mulai 3 Ogos sehingga 4 September 2020 di Kulim Kedah bertujuan bagi membantu meningkatkan kebolehpasaran graduan khususnya dalam bidang kejuruteraan Mikroelektronik.

 

Lebih membanggakan pensyarah kanan Pusat Pengajian Kejuruteraan Mikroelektronik UniMAP, Ir. Ts. Dr. Razaidi Hussin turut dilantik sebagai Penyelia MIEIP 2020.
Dr. Razaidi berkata program itu direka untuk melengkapkan pelajar peringkat Sarjana Muda dengan kemahiran dalam merekabentuk litar terkamir menerusi bidang digital.

Ujarnya, program berkenaan mula diperkenalkan pada Jun 2019 dengan pengisian aktiviti kali ini diselaraskan oleh UniMAP iaitu menerusi Latihan Intensif Jurutera Rekabentuk Cip (Industry Certified Design) turut membabitkan 16 pensyarah Universiti Awam (UA) yang menawarkan Program Kejuruteraan Elektrik dan Elektronik.

“Latihan intensif ini adalah dengan memberi pendedahan kepada pelajar dan pensyarah menggunakan perisian Synopsys yang memenuhi piawaian industri untuk merekabentuk cip serta industri berkait rapat dalam bidang semikundoktor elektronik,” katanya.

Selain UniMAP, 30 pelajar adalah dari Universiti Malaya, 22 pelajar Universiti Teknologi Malaysia, 13 pelajar Universiti Sains Malaysia, lima dari Universiti Teknologi Mara (UiTM) Pulau Pinang, Universiti Kebangsaan Malaysia (4 pelajar), Universiti Malaysia Pahang (UMP) (3 pelajar) serta seorang pelajar masing-masing dari Universiti Teknikal Malaysia (UTeM) dan Universiti Putra Malaysia (UPM).

Tambah Dr Razaidi, kesinambungan daripada program berkenaan pelajar akan menghasilkan projek tahun akhir berdasarkan tajuk dari industri yang diselia bersama oleh mentor atau penyelia dari Intel selain dapat menyertai pertandingan Innovate Malaysia Challenge (IMDC) anjuran Dream Catcher Consulting Sdn Bhd.

“Fasa ketiga bagi program ini adalah dimana pelajar yang menyertai program ini akan ditawarkan pekerjaan sebagai Graduate Trainee di Intel Malaysia Sdn Bhd dan seterusnya diserap sebagai pekerja tetap.

“Oleh itu, program ini dilaksanakan berdasarkan elemen bidang kepakaran di dalam revolusi industri 4.0 yang banyak menekankan ke arah proses pengautomasi secara elektronik sekaligus graduan dalam bidang ini dapat bersedia untuk terus diserap bekerja dalam industri elektronik tanpa latihan praktikal tambahan,” kata beliau.