- Kategori: BERITA - Malay
- Ditulis oleh Aininulniza
Staf UniMAP Dinobat Penuntut Terbaik Akademik Kursus Pegawai Kanan (Sukarela)
Oleh : Suhana Abd Mutalib
ARAU – Staf Universiti Malaysia Perlis (UniMAP), Kapt. Muhamad Azuan Mohamad Nasir telah dinobatkan sebagai Penuntut Akademik Terbaik Kursus Pegawai Kanan (Sukarela) Siri 1/2020.
Kursus berkenaan yang telah diadakan bermula 5 hingga 18 Ogos 2020 di Pusat Latihan Askar Wataniah (PUSWATAN), Kem Gunung Panjang, Ipoh telah dihadiri oleh 24 orang penuntut dari Seluruh Rejimen Siri 500 Askar Wataniah dan Pegawai PALAPES Universiti Awam.
Muhamad Azuan berkata, kursus tersebut wajib dihadiri oleh semua pegawai sukarela yang mana ia bertujuan membolehkan pemakaian pangkat Lt. Kol dan seterusnya menjawat jawatan sebagai Pegawai Memerintah.
Jelas beliau, kursus ini melibatkan empat fasa iaitu fasa pertahanan, pengunduran, mara dan serangan yang antara lainnya bertujuan memastikan setiap penuntut mahir menggunakan konsep Individual Military Appreciation Process (IMAP).
“Dalam setiap fasa tersebut penuntut akan diberikan naratif yang memerlukan kami terus menyediakan peta operasi, lakaran serta arahan (order) sebelum membentangkan hasil kepada penguji yang terpilih.
“Di akhir kursus tersebut, kami akan diuji sekali lagi dengan ujian akhir untuk melihat sejauh mana tahap kefahaman dan penerimaan terhadap kursus tersebut,” ujarnya.
DalaM pada itu, Naib Canselor UniMAP, Prof. Ir. Ts. Dr. R Badlishah Ahmad berbangga dengan pencapaian yang diraih oleh Muhamad Azuan dan berharap ia dapat dijadikan contoh buat semua anggota PALAPES UniMAP.
“Sebagai Komandan PALAPES UniMAP, saya amat berharap kesemua pegawai kanan serta anggota PALAPES UniMAP dapat menjadikan kejayaan Muhamad Azuan sebagai satu penanda aras untuk kemajuan diri masing-masing,” katanya.