A+ A A-

UniMAP Anjur Sayembara Deklamasi Puisi Pengurusan

Oleh: Suhana Abdul Mutalib

ARAU, 28 Ogos - Buat julung kalinya, UniMAP menganjurkan majlis sayembara puisi yang menampilkan kesemua Ahli Jawatankuasa Pengurusan Universiti (JKPU) di pentas bagi mendeklmasikan puisi patriotik.

Tidak terkecuali, Naib Canselor UniMAP, Prof. Ir. Ts. Dr. R Badlishah Ahmad memilih puisi Jamung Merdeka, hasil nukilan Razali Mohd Yussof.

Majlis yang bertemakan "Malaysia Prihatin" itu, diadakan bersempena Sambutan Hari Kebangsaan yang ke - 63 bertempat di Aras 2, Auditorium Bangunan Canselori, Kampus Alam UniMAP, Pauh Putra.

 

Turut berlangsung ialah majlis pengumuman pemenang Sayembara Puisi 'UniMAP Merdeka 63' yang dibahagikan kepada dua kategori iaitu kategori pelajar dan kakitangan UniMAP.

Dalam ucapannya, Prof. R. Badlishah berkata pertandingan tersebut merupakan medium yang tepat dalam mengetengahkan suara warga UniMAP melalui pembacaan puisi dan gurindam mengenai erti kemerdekaan.

"Pada tahun ini, negara kita meraikan tahun kemerdekaan yang ke-63 yang bertemakan ‘Malaysia Prihatin’. Tema ini dipilih bertepatan dengan perpaduan dan satu hati semua rakyat Malaysia yang bersama-sama memerangi musuh di kala ini, iaitu wabak Covid-19.

"Sematkan dalam ingatan untuk kita mengukuhkan kembali asas-asas perpaduan, keharmornian dan kesejahteraan antara kita bagi memerangai ancaman musuh negara secara nyata ataupun tidak," ujarnya.

Sebagai rakyat Malaysia, jelasnya, meskipun berbeza warna kulit, bangsa dan keturunan mahupun agama, namun harus sentiasa menzahirkan dan membuktikan kesyukuran terhadap nikmat kemerdekaan yang telah dikecapi hari ini.

Jelasnya, kesyukuran itu tidak hanya sekadar menggantung bendera atau menganjurkan perhimpunan atas nama meraikan kemerdekaan sebaliknya menghayati pengisian kemerdekaan dan menghargai kebebasan negara yang telah dibina selama ini.

"Justeru, saya ingin menyeru warga UniMAP untuk bersatu hati mengeratkan perpaduan dan elakkan perpecahan.

"Marilah kita bersama-sama bangkit dengan hati yang ikhlas dan tekad yang diperbaharui, memandang masa depan dengan jiwa yang gagah serta merdeka dalam satu solidariti," jelasnya lagi.

Turut mendeklamasikan puisi ialah Sasterawan Negara Datuk Prof. Dr. Zurinah Hassan yang juga merupakan Sasterawan Negara di UniMAP. Beliau yang menyampaikan puisi secara maya memilih puisi bertajuk Rumah Merdeka hasil karya beliau sendiri.

Tagged under: UniMAP, berita,