A+ A A-

UniMAP – AIU Jalin Kerjasama Pembangunan Sistem Pengurusan Pintar

Oleh : Suhana Abd Mutalib

ALOR SETAR, 3 September – Universiti Malaysia Perlis (UniMAP) hari ini memeterai kerjasama strategik bersama Albukhary International University (AIU) bagi menjayakan projek penyelidikan dan pembangunan Sistem Pengurusan Pintar untuk kegunaan AIU.

Pembangunan sistem tersebut yang dijalankan menerusi anak syarikat UniMAP, Technopreneur At UniMAP Sdn. Bhd (TUSB) membabitkan penyediaan lima sistem pengurusan standard universiti merangkumi aspek sumber manusia, akademik, kehadiran bertugas serta pengurusan penginapan.

 

Naib Canselor UniMAP, Prof. Ir. Ts. Dr. R Badlishah Ahmad berkata, kesemua sistem tersebut yang dibangunkan oleh Pusat Pengurusan dan Pembangunan Digital (DMDC) UniMAP telah digunakan oleh UniMAP dan ia terbukti berjaya menjimatkan kos dan masa menunggu secara fizikal memandangkan semua proses boleh dilaksanakan menggunakan telefon pintar masing-masing.

Ujar beliau, sistem yang telah dipersetujui oleh kedua-dua pihak ialah Sistem Pengurusan Sumber Manusia (HRMIS), Sistem Pengurusan Akademik dan Portal Pelajar (AMIS), Sistem Pengurusan Akademik Pasca Siswazah (GAMIS), Sistem Pengurusan Kemudahan Penginapan (HOMES) dan Sistem Pengurusan Informasi Kedatangan.

“Sebagai contoh, sistem kehadiran berasaskan geolokasi (GPS) yang mula dibangunkan awal tahun lalu ketika Majlis Ucaptama Tahunan dan dikembangkan penggunaannya susulan tercetusnya pandemik COVID-19 lalu, membantu pihak pengurusan mengesan lokasi staf dan pelajar UniMAP sepanjang tempoh Perintah Kawalan Pergerakan (PKP).

“Sistem berkenaan juga dapat dipadankan dengan status zon COVID-19 yang dikategorikan hijau, kuning atau merah untuk memudahkan UniMAP menyusun jadual pergerakan pulang pelajar ke kediaman masing-masing. Untuk kemasukan pelajar yang akan datang, UniMAP akan terus memadankan data pelajar dengan kawasan-kawasan berisiko,” ujarnya.

Beliau berkata demikian selepas Majlis Memeterai Kerjasama Perjanjian (MoA) antara UniMAP dan AIU. Pada majlis tersebut, UniMAP diwakili sendiri oleh Prof. R Badlishah dan Pengurus TUSB, Prof. Madya Ir. Dr. Muhammad Mokhzaini Azizan manakala AIU diwakili oleh Presiden dan Naib Canselornya, Prof. Datuk Dr. Abd. Aziz Tajuddin dan Pendaftar AIU, Prof. Datuk Dr. Mohd. Hafiz Yusoff.

Majlis disaksikan oleh Pengerusi Ahli Lembaga Pengarah TUSB, Shahrudin Othman dan Timbalan Naib Canselor AIU, Prof. Ir. Dr. Rizalafande Che Ismail.

Dalam pada itu, Prof. Datuk Dr. Abd. Aziz Tajuddin berkata, projek ini mempunyai kemampuan untuk menilai pencapaian pelajar dan staf secara berkala dan yang lebih unik ia mampu memberikan amaran sekiranya berlaku keganjilan dalam data yang dimasukkan atau direkodkan.

“AIU amat mementingkan sistem yang mesra pengguna dan pada masa sama mengembangkan prosuder intervensi. Menerusi MOA ini juga, sistem yang dibangunkan ini akan menjadi milik AIU sepenuhnya.

“Sebagai sebuah universiti yang baharu, sistem ini amat penting bagi mengukur pencapaian pelajar secara holistik dan pada masa sama mempunyai kemampuan untuk menilai data dengan ketepatan dan kapasiti yang tinggi. Kita juga menggunakan perkhidmatan awan yang dapat membantu menjimatkan kos selain mempunyai system keselamatan dan privasi yang tinggi,” jelasnya.