A+ A A-

Kemiskinan Tidak Halang Amerul Sambung Pengajian ke UniMAP

Oleh: Dr Hirwan Jasbir Jaafar & Mohd Basri Basir

PAUH PUTRA, 7 Ogos 2020- Kesusahan hidup yang dihadapi seorang remaja di Perlis bukan halangan untuk melanjutkan pelajaran hingga ke peringkat universiti.
Amerul Anuar Norazman bakal mendaftar di Universiti Malaysia Perlis (UniMAP) dalam jurusan Ijazah Sarjana Muda Kejuruteraan Awam untuk kemasukan Sidang Akademik 2020/2021 pada Oktober nanti.

Timbalan Naib Canselor Hal Ehwal Pelajar dan Alumni UniMAP, Prof. Dr. Mohd Foad Sakdan berkata, pihaknya terpanggil untuk membantu keluarga tersebut selepas melihat kesungguhan yang ditunjukkan Amerul.

 

UniMAP sentiasa prihatin dengan nasib pelajar-pelajar yang berhadapan masalah kewangan untuk menyambung pengajian dan saya difahamkan, beliau tinggal bersama bapa yang merupakan seorang kelainan upaya (OKU) serta nenek yang berusia 64 tahun.

“Daripada maklumat yang kita perolehi, Amerul layak untuk bantuan tabung zakat dan elaun kerja sambilan dibawah tabung dedikasi pelajar,” katanya ketika ditemui selepas menyampaikan sumbangan barangan keperluan harian di Pejabat Pusat Perumahan Pelajar (PPP), Bangunan Pentadbiran Kolej Kediaman Tuanku Tengku Fauziah di sini, baru-baru ini.

Turut hadir Pengarah Pusat Perumahan Pelajar, Dr. Hirwan Jasbir Jaafar dan Pengetua Kolej Kediaman Tuanku Tengku Fauziah, Kartini Alir.
Tambah Dr Mohd Fo’ad, selain pengecualian yuran asrama, pihak universiti juga akan membantu menyediakan sebuah komputer riba melalui penajaan bagi memudahkan Amerul menjalani kelas secara online.

“Saya juga menasihatkan pelajar-pelajar yang berhadapan dengan kekangan kewangan untuk menghubungi terus pihak universiti bagi mendapatkan pelbagai bantuan yang disediakan. Pihak universiti akan sedaya upaya membantu pelajar agar dapat meneruskan pengajian dan menjadi insan yang berjaya,”ujar beliau.

Dr. Mohd Foad juga turut melahirkan ucapan terima kasih kepada dua guru Amerul iaitu Khadijah Mohd Zabidi dan Choo Lee Ling yang berusaha untuk membantu pelajar berkenaan meneruskan pengajian di UniMAP.