A+ A A-

EREKA 2020 : Penyelidik UniMAP Disaran Manfaat Pakej Rangsangan Penyelidikan

Oleh: Mohd Basri Basir


ARAU, 8 Sept – Penyelidik Universiti Malaysia Perlis (UniMAP) disaran untuk memanfaatkan Pakej Rangsangan Penyelidikan yang membolehkan para penyelidik kekal menjalankan penyelidikan dan penerbitan jurnal dalam situasi normal baharu berikutan pandemik COVID-19.

Naib Canselor UniMAP, Prof. Ir. Ts. Dr. R. Badlishah Ahmad berkata, geran fundamental UniMAP diberikan peruntukan terbesar iaitu RM200,000 yang akan menyediakan peluang untuk pensyarah memohon geran bagi menjalankan 25 projek.

 

“Dari jumlah ini, kita telah membuat pecahan dimana para pensyarah atau penyelidik akan diberikan geran untuk lima projek berasaskan Sains dan Teknologi serta 20 projek berasaskan Sains Sosial.

“Satu lagi inisiatif dengan peruntukan nilai sama menerusi geran Penyelidikan Bahan ialah geran khas untuk pembelian bahan-bahan penyelidikan termasuk barang pakai habis khas untuk kumpulan penyelidikan di 10 buah pusat pengajian atau fakulti,’katanya ketika berucap pada Penutupan Program Ekspo Maya Rekacipta & Pameran Penyelidikan UniMAP (EREKA 2020), di Auditorium Perpustakaan Tuanku Syed Faizuddin Putra, di sini , semalam.

Turut hadir, Timbalan Naib Canselor Akademik dan Antarabangsa UniMAP, Prof. Ir. Dr. Mohd Rizal Arshad, Pengarah Pusat Penyelidikan UniMAP, Prof. Dr. Mustafa Al Bakri dan Pengarah Pusat Inovasi dan Pengkomersialan (CIC) UniMAP, Haslina Hassan Basri.

Ujar Dr. R. Badlishah lagi, keseluruhan Pakej Rangsangan Penyelidikan Pasca COVID 19 UniMAP 2020 yang diumumkan itu berjumlah lebih RM 1juta dengan 11 inisiatif sebagai langkah menyuburkan aspek penyelidikan dalam kalangan warga UniMAP.

“Sehubungan itu, saya menyeru agar warga akademik UniMAP untuk menggunakan peluang ini bagi mendapatkan geran-geran yang disediakan menerusi 11 inisiatif berkenaan,"katanya.

EREKA 2020 merupakan program yang pertama kali diadakan secara maya berikutan pandemik COVID 19 yang melanda dunia. Ia mempertandingkan enam kategori iaitu Teknologi digital elektronik dan IOT.


Tambah Dr. R Badlishah lagi, walaupun masalah COVID 19 yang melanda dunia pada masa kini, ia tidak menghalang penyelidik untuk turut serta pada EREKA 2020.
“Saya difahamkan, jumlah penyertaan EREKA kali ini adalah sebanyak 239 produk. Ini termasuklah penyertaan dari tuan rumah, UniMAP 171 produk dan 68 produk dari institusi pendidikan dari seluruh negara,"katanya.

Pada majlis itu, Dr. R Badlishah menyampaikan ‘Best of The Best Award’ kepada Pusat Kecemerlangan Kejuruteraan Komunikasi Termaju (ACE) UniMAP dengan produk penyelidikan Soil Nutrient Prediction For Managing Crop Production.

Kemenangan itu membolehkan ACE membawa pulang hadiah berupa wang tunai RM 400, medal dan plak.