A+ A A-

UniMAP Semarakkan Malaysia Prihatin di Program Kayuhan Hari Malaysia 2020 Bersama Canselor

Oleh : Aininulniza Mohd Yusof

 

PADANG BESAR, 20 September – Bagi menyemarakkan lagi semangat Sambutan Hari Malaysia, hampir 300 peserta melakukan cabaran Kayuhan Hari Malaysia 2020 anjuran Universiti Malaysia Perlis (UniMAP), hari ini.

Program yang mengangkat tema Hari Kebangsaan dan Hari Malaysia iaitu Malaysia Prihatin turut diserikan dengan keberangkatan Raja Muda Perlis, Tuanku Syed Faizuddin Putra Jamalullail yang juga Canselor UniMAP bercemar duli menyertai kayuhan itu.

 

Naib Canselor UniMAP, Prof Ir. Dr. R Badlishah Ahmad berkata dengan membawa tema tersebut, program kayuhan ini bukan sekadar mengayuh basikal semata-mata tetapi turut diselitkan program Tanggungjawab Sosial Universiti (USR).

UniMAP berbesar hati memberi sumbangan panel solar kepada Sekolah Menengah Kebangsaan Raja Puan Muda Tengku Fauziah (SMKRPMTF), Padang Besar yang bakal dimanfaatkan bagi menjimatkan penggunaan elektrik.

“Selain sumbangan panel solar, UniMAP melalui Persatuan Isteri dan Kakitangan Wanita (PISKANITA) juga menganjurkan Fun Walk, pertandingan bola jaring persahabatan bersama guru sekolah itu bagi mengeratkan lagi hubungan di antara UniMAP dan komuniti setempat serta program USR Klinik Olahraga bersama Nazmizan Muhammad,” kata beliau ketika berucap di Majlis Penutup program berkenaan di Kampus UniCITI Alam, di sini.

Turut berkenaan berangkat hadir ialah Raja Puan Muda Perlis Tuanku Lailatul Shahreen Akashah Khalil yang juga Pro Canselor UniMAP.

Hadir sama Pengerusi Lembaga Pengarah UniMAP, Raja Dato' Azwane Raja Ariff, Penasihat Undang-undang Negeri Perlis Radhi Abas dan Pengerusi PISKANITA UniMAP, Fatimah Danial.

Tambah R Badlishah, sesuai dengan tema Malaysia Prihatin, UniMAP juga sentiasa komited dan prihatin dalam membantu kebajikan pelajar menerusi skim bantuan zakat sedia ada seperti penempatan kolej kediaman percuma, zakat, tabung amanah khas, foodbank dan sebagainya.

“Pelajar yang memerlukan bantuan kewangan juga berpeluang melakukan kerja sambilan dan dibayar gaji serta berpeluang menjadi usahawan menerusi platform hire.me UniMAP.

“Malahan, bagi tahun 2020 sahaja, UniMAP telah memperuntukkan sebanyak RM500,000 wang zakat untuk diagihkan kepada pelajar yang memerlukan bantuan dengan sasaran lebih 1200 pelajar,” katanya.

Selain program kayuhan itu, Majlis Penghuni Kolej Kediaman UniCITI juga berpeluang menyerlahkan bakat melukis mural sebagai simbolik tema Hari Kebangsaan dan Hari Malaysia 2020 di SMKRPMTF.

Sementara itu, Tuanku Syed Faizuddin bertitah agar perkara asas keselamatan dititikberatkan dalam aktiviti menunggang basikal yang kini meningkat bilangan peminatnya sejak akhir-akhir ini.

”Adalah menjadi satu keperluan kepada kerajaan atau badan-badan yang bertanggungjawab untuk menjalankan kempen keselamatan menunggang basikal di media massa bagi memberi kesedaran kepada penunggang basikal.

”Selain itu, pembinaan litar atau laluan basikal kepada penunggang basikal juga membolehkan mereka meneruskan aktiviti ini dengan selamat selain polisi atau peraturan dikuatkuasakan kepada penunggang basikal perseorangan atau berkumpulan,” titah Baginda.

 

Tagged under: UniMAP, berita,