- Kategori: BERITA - Malay
- Ditulis oleh Syed Abu Bakar Syed Ahmad
Kontinjen UniMAP Ke SUKANUN Capai Sasaran Raih 3 Pingat Emas
Kota Kinabalu, 2 Mei – Kontinjen Universiti Malaysia Perlis (UniMAP) berjaya meraih tiga pingat emas menerusi tiga acara yang disertai pada Kejohanan Sukan Badan Berkanun (SUKANUN) yang berlangsung di sini mulai 27 Mei lalu.
Pingat emas UniMAP disumbangkan menerusi pasukan Golf, Bola Sepak Lelaki Senior dan Olahraga.
Naib Canselor UniMAP, Datuk Prof. Dr. Kamarudin Hussin berkata, pada temasya kali ini, UniMAP hanya menghantar wakil menerusi tiga acara tersebut yang mempunyai prospek untuk menyumbangkan pingat.
“Pada asalnya, UniMAP tidak langsung bercadang untuk menyertai temasya pada tahun ini disebabkan pengurangan peruntukan dan kos, namun selepas perbincangan bersama pengurusan Pusat Sukan, kita memilih hanya yang terbaik untuk meminimumkan kos.
“Meskipun dengan langkah berjimat cermat, strategi UniMAP menampakkan hasil malah menyerlahkan kekuatan pasukan apabila ketiga-tiga acara yang disertai menyumbangkan pingat emas meskipun menerima tentangan sengit daripada pasukan-pasukan lain yang mengambil bahagian,” ujar beliau.
Temasya SUKANUN pada tahun ini dihoskan oleh Universiti Teknologi Mara (UiTM) Sabah dengan membabitkan lebih 70 pasukan yang mengambil bahagian dalam 22 acara yang dipertandingkan.
Kontinjen UniMAP terdiri daripada 44 atlit dan pengurusan dengan diketuai oleh Timbalan Naib Canselor (Hal Ehwal Pelajar dan Alumni) Prof Madya Dr. Mohd Fo’ad Sakdan dan Pengarah Pusat Sukan, Suhizaz Sudin.
Pasukan golf merupakan kontinjen pertama yang menyumbang pingat emas buat UniMAP selepas muncul johan keseluruhan menerusi dua kategori acara yang dipertandingkan iaitu gross dan nett dengan mengumpul 21 mata mengatasi Bank Simpanan Nasional (BSN) yang meraih 19 mata dan Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) 16 mata.
Kegemilangan UniMAP diteruskan menerusi kejayaan pasukan bola sepak lelaki yang menundukkan pasukan Majlis Bandaraya Shah Alam (MBSA) dengan jaringan 3 gol berbalas 1.
Terdahulu pada peringkat separuh akhir, pasukan bola sepak UniMAP menundukkan pasukan Lembaga Kemajuan Kelantan Selatan (KESEDAR) dengan jaringan 3-0.
Sementara itu, dalam acara olahraga, kontinjen UniMAP yang disertai oleh 16 atlit dan dua pengurus pasukan berjaya meraih 14 pingat emas, enam pingat perak dan dua pingat gangsa.
UniMAP nyata tiada tentangan dalam acara pecut apabila menyapu bersih pingat emas bagi acara 100 dan 200 meter lelaki serta wanita yang disumbangkan oleh Mohd. Helmi Awang dan Nurhaslinda Md Hussain.
Pingat emas UniMAP turut diraih menerusi acara lompat jauh wanita, lompat tinggi wanita, merejam lembing lelaki dan wanita, 110 meter lari berpagar lelaki, melontar peluru lelaki dan melempar cakera lelaki.
UniMAP turut mencuri tiga pingat emas dari acara kuartet apabila pasukan lelaki menyapu bersih pingat emas bagi acara 4x100 meter dan 4x400 meter manakala pasukan wanita hanya sekadar meraih emas bagi acara 4x100 meter dan perak bagi acara 4x400 meter.