- Kategori: BERITA - Malay
- Ditulis oleh Fazemil
UniMAP Bakal Perkenal Model Penjanaan Kewangan
Oleh : Nurul Aida Othman
Pauh Putra, 6 Disember - Satu model atau struktur baharu akan diperkenalkan untuk melihat keseluruhan dasar dan aktiviti penjanaan kewangan Universiti Malaysia Perlis (UniMAP).
Naib Canselor UniMAP, Prof. Ir. Ts. Dr. R Badlishah Ahmad berkata, sehingga kini, UniMAP masih belum ada satu struktur dan ekosistem khusus melihat penjanaan pendapatan Universiti atau income generation.
“Sebagaimana yang telah saya bentangkan semasa Majlis Amanat Naib Canselor UniMAP 2020 pada awal tahun ini, tahun 2020 merupakan tahun yang agak mencabar bagi universiti awam di Malaysia termasuk UniMAP.
“Apabila berlakunya pengurangan peruntukan kepada UniMAP sebanyak 17.44 peratus, kita perlu memikirkan satu bentuk mekanisme bagi menjana kewangan melalui sumber dalaman untuk menampung keperluan perbelanjaan pada tahun ini,” katanya ketika berucap merasmikan penutupan Bengkel Taskforce Struktur Penjanaan Universiti baru-baru ini.
Ujar beliau, UniMAP memerlukan penjanaan sebanyak RM47 juta bagi memastikan universiti boleh beroperasi dengan selesa, tanpa menjejaskan kualiti penyampaian perkhidmatan, terutamanya yang berkaitan dengan aktiviti pengajaran dan pembelajaran (P&P).
“Selain memastikan operasi universiti berjalan dengan lancar, usaha menjana pendapatan bukanlah semata-mata untuk menampung kekurangan bajet yang dihadapi, sebaliknya ia adalah untuk memastikan kelestarian sumber kewangan kita.
“Untuk tahun ini dan seterusnya kita mengharapkan peningkatan yang memberangsangkan dan ia memerlukan sokongan semua pihak bagi memastikan ia berjaya dilaksanakan,” katanya.
Selain itu katanya lagi, terdapat tiga resolusi yang dicapai iaitu sumber kewangan universiti; prosedur atau polisi penjanaan universiti; dan ekosistem penjanaan universiti.
“Jawatankuasa yang dilantik nanti akan mengenalpasti sumber-sumber utama UniMAP yang masih belum diterokai termasuk sumber fizikal, kewangan dan sumber manusia serta pusat tanggungjawab yang akan bertanggungjawab untuk memastikan penjanaan pendapatan kepada Universiti dapat dipantau dan dilaksanakan.
“Malah, penambahbaikan prosedur atau polisi penjanaan kewangan Universiti yang sedia ada perlu dikemaskini mengikut kesesuaian terkini struktur UniMAP serta perlu membangunkan dasar penjanaan pendapatan keseluruhan Universiti yang jelas,” katanya.
Tambahnya lagi, ekosistem yang mendokong penjanaan kewangan kepada Universiti yang merangkumi kelulusan, pelaksanaan dan pemantauan yang jelas dan mengikut tempoh masa yang fleksibel akan diwujudkan khusus untuk melihat penjanaan kewangan Universiti secara keseluruhannya.
“Kita bercadang untuk menubuhkan satu pusat tanggungjawab yang termasuk dalam Jawatankuasa Penjanaan Kewangan untuk memantau setiap aktiviti penjanaan kepada Universiti.
“Seterusnya, proses pemutihan juga bagi aktiviti/penubuhan syarikat yang tidak berdaftar perlu dilaksanakan bagi memastikan aliran penjanaan kepada Universiti dapat dikawal.
“Tidak ketinggalan, penetapan KPI bagi setiap Pusat Tanggungjawab (PTj) dan staf akademik bagi merancakkan lagi penjanaan kewangan kepada Universiti,” katanya.