- Kategori: BERITA - Malay
- Ditulis oleh Fazemil
UniMAP Terima 128 Manuskrip Pada ICoBiomasSE 2020
Oleh : Mohd Khairul Effendi Che Wan
PAUH PUTRA, 15 Disember - Sebanyak 128 manuskrip telah diterima pada 1st International Conference on Biomass Utilization and Sustainable Energy (ICoBiomasSE) 2020.
Naib Canselor UniMAP, Prof. Ir. Ts. Dr. R Badlishah Ahmad berkata, persidangan yang julung kali diadakan itu dilakukan secara dalam talian melibatkan penyertaan dari dalam dan luar negara termasuk dari Indonesia, Thailand, Filipina dan Nepal.
“Malaysia dan negara-negara jiran terkenal dengan industri pertanian dan sangat penting bagi melihat biojisim sebagai sumber dalam pendekatan yang lebih bersepadu.
“Pemilihan tema ‘Inovasi Biojisim untuk Pembangunan Lestari’ adalah relevan dan sesuai dalam menghadapi cabaran global,” katanya ketika merasmikan persidangan tersebut di Auditorium Canselori, Kampus Alam UniMAP, di sini pagi tadi.
Tambah beliau, pembakaran sisa pertanian hanya akan menyebabkan pencemaran alam sekitar dan kita kehilangan sumber yang boleh dihasilkan melalui sisa tersebut.
“Penganjuran ICoBiomasSE 2020 adalah platform terbaik kepada penyelidik dan ahli akademik untuk bekerjasama dalam mencari solusi bagi memberi kesedaran dalam meningkatkan penggunaan biojisim.
Penganjuran persidangan yang dilaksanakan selama dua hari itu adalah anjuran Pusat Kecemerlangan Penggunaan Biojisim, Universiti Malaysia Perlis.