- Kategori: BERITA - Malay
- Ditulis oleh Fazemil
4150 PELAJAR UniMAP BAKAL TERIMA KAD SIM CELCOM
Oleh: NURUL AIDA OTHMAN
PAUH PUTRA, 1 Januari - Seramai 4150 pelajar Universiti Malaysia Perlis (UniMAP) bakal menikmati pakej data internet Celcom bermula hari ini.
Mereka terdiri dari golongan B40 dan juga pelajar yang terjejas akibat COVID-19.
Menurut Naib Canselor UniMAP, Prof. Ir. Ts. Dr. R Badlishah Ahmad, pemberian kad sim bersaiz 40 GB setiap satu adalah secara percuma bagi tempoh satu bulan bermula 1 Januari hingga 31 Januari 2021.
“Pihak Celcom telah menawarkan harga yang terbaik kepada UniMAP iaitu sebanyak RM220,000.00 dengan jumlah 4150 kad sim.
“Walaupun hanya untuk tempoh sebulan, saya kira ia adalah satu kemudahan yang akan membantu pelajar melaksanakan proses pembelajaran dan menyelesaikan tugasan dalam talian dengan lancar,” katanya pada Majlis Perasmian Pusat Aktiviti Pelajar dan Pemberian Insentif Khas kasih UniMAP.
Turut hadir adalah Timbalan Naib Canselor (Hal Ehwal Pelajar dan Alumni) UniMAP, Prof. Dr. Mohd Fo’ad Sakdan dan wakil Celcom Axiata, Hafizi Mohd Padely iaitu Ketua Sektor Awam Celcom Axiata Berhad Kuala Lumpur.
Tambah Prof. Dr. R Badlishah lagi, pihak celcom akan membuka kaunter secara serentak bermula dari 1 Januari hingga 3 Januari 2021 di 3 lokasi iaitu PFI2, UniCITI, dan Kolej Kediaman UniMAP Di Wang Ulu untuk mengedarkan kad sim ini.
“Pembahagian nama pelajar bagi pemberian kad sim ini adalah mengikut Kolej Kediaman masing-masing, manakala bagi pelajar yang masih berada di rumah, ia akan dihantar melalui pos ke rumah mereka.
“Semoga mereka dapat memanfaatkan faedah ini dengan sebaik mungkin untuk kegunaan pembelajaran mereka dan terima kasih kepada pihak Celcom Axiata kerana sudi terlibat secara langsung dalam membantu meringankan beban pelajar UniMAP,” katanya.
Selain penyerahan kad sim oleh pihak Celcom, Prof. Dr. R Badlishah juga menyampaikan sumbangan kepada 30 pelajar yang terpilih menerima dana bagi projek inovasi berkaitan COVID-19.
“Dana ini merangkumi reka cipta dalam bidang teknologi, ekonomi, dan sosial dengan peruntukan keseluruhan adalah sebanyak RM25,000.
“Setiap projek yang terpilih ini bakal menerima peruntukan sebanyak RM800 setiap satu dengan baki RM1,000 pula akan digunakan untuk menjayakan pameran penyelidikan tersebut,” katanya.
Tambah beliau, pelajar yang berminat untuk menyertai projek ini perlu menghantar permohonan dari 15 September hingga 31 Oktober 2020 lalu.
“Kemudian keputusan pemilihan diumumkan pada November lepas dan pelajar yang terpilih sebagai penerima insentif ini dikehendaki menyiapkan projek mereka dari Disember 2020 hingga Jun 2021 serta perlu menghantar laporan pembentangan projek kepada pihak P3P pada 1 Jun.
“Saya berharap semua pelajar yang terpilih untuk melaksanakan projek ini akan dapat memanfaatkan dengan sebaiknya insentif yang kita berikan ini untuk menyiapkan projek mereka pada tarikh yang telah ditetapkan,” katanya.
Untuk rekod, kedua-dua insentif ini adalah antara tujuh insentif yang terdapat dalam Program Insentif Khas Kasih UniMAP selain penginapan percuma; komputer riba; tabung amanah zakat; tabung dedikasi diri; dan keusahawanan yang dilaksanakan secara berperingkat.
Terdahulu, insentif yang telah diberikan adalah penginapan percuma dan juga komputer riba.