- Kategori: BERITA - Malay
- Ditulis oleh Fazemil
PELAJAR UniMAP JUARAI PERTANDINGAN BAHASA JEPUN
Oleh: NURUL AIDA OTHMAN
PAUH PUTRA, 15 Disember - Pelajar Universiti Malaysia Perlis (UniMAP), Chin Su Kei muncul juara pada The 41st Online Japanese Language Contest For The Northern Region (Kategori Terbuka) yang berlangsung baru-baru ini.
Pelajar tahun dua Ijazah Sarjana Muda Perniagaan Antarabangsa dari Fakulti Sains Gunaan dan Kemanusiaan (FSGM) UniMAP berjaya menewaskan sembilan peserta termasuk lima rakannya dari UniMAP, seorang dari Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI) dan tiga dari Universiti Sains Malaysia (USM).
Menurut Su Kei (22), pertandingan ini adalah pertandingan pengucapan dalam Bahasa Jepun yang memerlukan peserta untuk berucap selama lapan minit mengikut tema yang dipilih dan perlu melalui sesi soal jawab bersama juri.
“Untuk sesi pemilihan atau tapisan, saya perlu merakamkan video dan menyediakan paparan mengikut tema yang saya pilih iaitu ‘Kebahagiaan’ dan saya mula mempersiapkan diri dengan menghafalkan ucapan beserta intonasi bagi pertandingan akhir selepas menerima e-mel daripada pihak penganjur akhir November lalu.
“Terima kasih buat pensyarah bahasa Jepun saya iaitu Puan Zaleha Mat Aman yang membuka ruang kepada saya untuk menyertai pertandingan ini. Malah beliau bersama pensyarah Fakulti Teknologi Kejuruteraan Mekanikal (FTKM) UniMAP, Dr. Yuzairi Abdul Rahim telah membantu saya dan rakan-rakan membuat persiapan dari Oktober sehingga hari pertandingan iaitu 12 Disember lalu,” katanya ketika dihubungi.
Beliau yang menjuarai pertandingan ini berjaya membawa pulang Canon Selphy Printer dan baucer AEON bernilai RM350.
Katanya lagi, tema yang dipilih memerlukan beliau memikirkan perkara-perkara atau orang yang membuatkan saya bahagia dan menterjemahkan dalam bentuk penulisan serta berkongsi dengan juri sewaktu pembentangan.
“Malah saya ditanya beberapa soalan oleh juri dan mereka kagum dengan kepetahan dan kefasihan saya berbahasa Jepun.
“Selepas ini, saya berhasrat untuk mendalami bahasa Jepun dan seterusnya membantu pelajar UniMAP untuk mengetahui bahasa dan budaya negara matahari terbit ini dengan lebih mendalam melalui Kelab SEICOU yang baharu ditubuhkan di bawah Pusat Pembangunan dan Perkhidmatan Pelajar (P3P) UniMAP pada bulan Disember 2020 lalu,” katanya.
Beliau juga berharap lebih ramai pelajar UniMAP yang akan menyertai pertandingan melibatkan bahasa asing untuk mencabar potensi diri.
“Saya berharap lebih ramai pelajar UniMAP akan aktif menyertai pertandingan-pertandingan seperti ini untuk mendapatkan pengalaman dan mempelajari sesuatu daripada pertandingan itu,” katanya.