Logo

UniMAP LAKSANA PILIHANRAYA KAMPUS DIGITAL DALAM TEMPOH PKP

OLEH : AININULNIZA MOHD YUSOF

ARAU, 26 Januari – Berikutan pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) di seluruh negara bagi mengekang gelombang ketiga COVID-19 yang semakin berlarutan, Universiti Malaysia Perlis (UniMAP) tetap meneruskan Pilihanraya Kampusnya secara dalam talian (e-voting), hari ini.

Naib Canselor UniMAP, Prof Ir. Ts. Dr. R Badlishah Ahmad berkata UniMAP komited agar setiap pelajarnya dapat mengundi dari rumah masing-masing tanpa perlu ke Pusat Pengundian menerusi penyediaan platform undian dengan kawalan keselamatan digital yang tinggi daripada Pusat Pengurusan dan Pembangunan Digital (DMDC) universiti itu.

 

Ujarnya, pemilihan secara demokrasi dan telus melalui kaedah berkenaan membolehkan setiap pelajar universiti berteraskan kejuruteraan itu sama ada berada di dalam mahupun luar kampus mengundi serta memilih calon Majlis Perwakilan Pelajar (MPP) baharu bagi sidang akademik 2020/2021.

“Selain itu pemilihan MPP kali ini turut menyaksikan buat pertama kalinya kerusi Pusat Perumahan Pelajar dipertandingkan bagi memastikan keupayaan kepimpinan pelajar dapat diterapkan secara menyeluruh untuk menjaga kebajikan pelajar yang menginap di Pusat Perumahan Pelajar,” kata beliau ketika Majlis Pengumuman Keputusan Pemilihan Majlis Perwakilan Pelajar (MPP) UniMAP sesi 2020/2021 secara dalam talian di Auditorium Bangunan Canselori, Kampus UniMAP Pauh Putra.

Turut serta dalam majlis berkenaan ialah Timbalan Naib Canselor Hal Ehwal Pelajar (HEPA), Prof. Dr. Mohd Fo’ad Sakdan, Ketua Pegawai Digital DMDC Prof. Ir. Dr. Anuar Mat Safar, Pengarah Pusat Pembangunan Dan Perkhidmatan Pelajar (P3P), Profesor Madya Ir. Ts. Dr. Muzammil Jusoh, dan Pengerusi Jawatankuasa Pemilihan Pemimpin Mahasiswa UniMAP (JPPM) Muhammad Sufian Mohd Nizam.

Tambah Prof. Dr. R Badlishah, bagi pemilihan kali ini sebanyak 27 kerusi dipertandingkan yang terdiri daripada tujuh kerusi Konstituensi Umum, 18 kerusi Konstituensi Fakulti dan dua kerusi Konstituensi Khas manakala satu kerusi lantikan secara terus oleh Naib Canselor.

“Seramai 16 calon telah bertanding bagi tujuh kerusi Konstituensi Umum dengan keputusan berjaya dimenangi oleh Abdul Khalim Al Azizi Syahril, Nurhani Nabila Mohd Noordin, Wan Nur Iffah Najihah Wan Azman, Nur Ainun Sakina Idrus, Nur Imanina Dhaniyah Mahadi, Suriyarao A/L Raman Naidu dan Muhamad Ali Mohd Yusoff.

“Tahniah diucapkan dan tunaikan amanah ini sebaiknya kerana realiti tanggungjawab mengemudi MPP perlu seiring dengan perasaan menghormati universiti. Di samping itu, sokongan semua pihak amat diperlukan supaya barisan MPP dapat menterjemahkan hasrat Kementerian iaitu ‘Universiti Untuk Masyarakat’,” kata beliau.

 

Tagged under: UniMAP, berita,
Template Design © Joomla Templates | GavickPro. All rights reserved.