- Kategori: BERITA - Malay
KTM Bentuk Pelajar Berdaya Saing
Kangar, 24 Mac 2015 – Dalam usaha membentuk pelajar berdaya saing melangkaui bidang yang dipelajari, Universiti Malaysia Perlis (UniMAP) melalui Majlis Penghuni Kolej Kediaman (MPKK) Tan Sri Aishah Ghani telah melancarkan Karnival Teknokrat Muda (KTM) di sini, semalam.
Pengarah Unit Perumahan dan Penginapan Pelajar (U3P), Dr. Midhat Nabil Ahmad Salimi dalam ucapan perasmiannya berkata, KTM dianjurkan selaras dengan seruan kerajaan untuk membentuk pelajar yang mampu berdaya saing dalam pasaran menjangkaui bidang yang dipelajari terutama dalam bidang perniagaan.
“Kita ingin melahirkan mahasiswa yang lebih proaktif, beridealisme dan kreatif dalam berinteraksi dengan pengunjung luar.
“Malah ini adalah salah satu cara yang dapat menyatu dan merapatkan hubungan antara pelajar walaupun tinggal di kolej kediaman berbeza,” katanya.
Pelbagai aktiviti menarik dirangka sepanjang tujuh hari karnival tersebut berlangsung, antaranya masterchef, T-shirt design, doodle, explorace, pameran inovasi inter-kolej, malam persembahan inovasi serta ekspo keusahawanan Minggu Cari Duit (MCD).
Karnival yang bermula 23 hingga 29 Mac bermula dari jam 9.00 pagi hingga 10.30 malam ini turut diserikan dengan Kawad Formasi, Malam Penghayatan Islam, Pertandingan Gubahan Bunga (Secret Garden), Pertandingan Ukiran Buah dan banyak lagi.
Kata Dr. Nabil lagi, UniMAP yakin melalui program sebegini akan mencabar minda pelajar sekaligus sebagai satu persediaan untuk pelajar menghadapi cabaran globalisasi apabila tamat pengajian nanti.