- Kategori: BERITA - Malay
- Ditulis oleh Aininulniza
Pengurangan Yuran UniMAP Masih Dalam Kajian
OLEH : SUHANA ABD MUTALIB
ARAU,2 FEB – Universiti Malaysia Perlis (UniMAP) masih mengkaji mekanisme terbaik sebelum memutuskan sebarang ketetapan pemulangan atau pengurangan yuran pelajar susulan pandemik COVID-19 yang masih berada pada tahap yang membimbangkan.
Naib Canselornya, Prof. Ir. Ts. Dr. R Badlishah Ahmad berkata, ia susulan kadar yuran yang dikenakan di universiti itu masih berada pada paras rendah berbanding universiti lainnya di negara ini.
“Berdasarkan tinjauan yang dibuat, yuran berulang dan yuran pendaftaran pelajar baharu yang dikenakan kepada pelajar UniMAP adalah 20 peratus lebih rendah berbanding universiti lainnya, justeru justifikasi khusus perlu dinilai sebelum sebarang keputusan diambil.
“Untuk situasi terkini ini, kita masih perlukan masa, namun UniMAP telah menjelaskan bayaran yuran penginapan pelajar-pelajar yang terlibat dalam sesi Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) edisi pertama Mac hingga Jun tahun lalu,” jelasnya.
Mengulas lanjut, Prof. R Badlishah berkata, peruntukan yang diterima oleh UniMAP pada tahun ini juga telah dikurangkan yang mana ia sekadar cukup untuk menampung kos operasi UniMAP.
Jelasnya, meskipun telah memiliki kampus induk di Pauh Putra, namun terdapat beberapa kemudahan yang masih di sewa termasuklah kediaman pelajar yang mana ia secara tidak langsung meningkatkan kos operasi UniMAP.
Selain itu, Prof. R Badlishah juga menjelaskan, UniMAP telah melaksanakan beberapa inisiatif perbelanjaan berhemah termasuklah mengurangkan bayaran kerja lebih masa staf.
“Buat masa ini UniMAP masih membayar sewa pada kos yang sama membabitkan beberapa fasiliti meskipun dalam PKP edisi kedua ini. Dalam erti kata lain, tiada pengurangan dari pemilik premis, justeru perkara-perkara ini perlu diperhalusi sebaiknya sebelum UniMAP mengambil sebarang keputusan.
“UniMAP sentiasa ingin memberikan yang terbaik buat pelajar, justeru apa sahaja keputusan yang diambil pasti memberi manfaat kepada kedua-dua pihak,” jelasnya lagi.