A+ A A-

SUARA KITA DEDAH PELAJAR & ALUMNI UniMAP KERJAYA DI MUSIM PANDEMIK

OLEH: AININULNIZA MOHD YUSOF

 

ARAU, 5 Februari – Memahami situasi pandemik COVID-19 yang masih menular di negara kita, Universiti Malaysia Perlis (UniMAP) menerusi Pusat Perhubungan Alumni (PPA) menganjurkan program Suara Kita bagi memberi gambaran kepada alumninya mengenai peluang kerjaya ketika situasi berkenaan.

Program kerjasama PPA dan Alumni UniMAP @ Chapter Tengah serta Akademi KRU dengan tajuk “Digital Economy: Enhancing The Wealth, Productivity & Quality Life” berlangsung secara dalam talian dengan speaker jemputan siri ketiga itu adalah Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan Syarikat KRU, Dato’ Norman Abdul Halim.

 

Naib Canselor UniMAP Prof Ir Dr R Badlishah Ahmad berkata penganjuran program itu membuktikan UniMAP sentiasa mencari inisiatif agar warga universiti itu khususnya pelajar dan alumni diberi pendedahan dan dibantu dalam membina idea serta kerjaya di samping menguasai ekonomi digital terkini.

Ujarnya, situasi pandemik yang berlaku sekarang menyebabkan pelajar mahupun alumni perlu lebih kreatif dan sedia menerima perubahan termasuk mengenai ekonomi digital yang sentiasa dinaiktaraf kemajuan aplikasinya.

“Saya percaya menerusi program hari ini, sekaligus memberi pendedahan kepada pelajar dan alumni UniMAP serta masyarakat umum tentang ilmu ekonomi digital yang diperlukan dalam e-perniagaan,e-dagang dan infrastruktur e-perniagaan yang boleh menjana pendapatan individu,” kata beliau ketika berucap merasmikan program berkenaan di Auditorium Bangunan Canselori, UniMAP.

Turut hadir dalam majlis perasmian program itu ialah Timbalan Naib Canselor Hal Ehwal Pelajar dan Alumni UniMAP, Prof Dr Mohd Fo’ad Sakdan dan Pengarah PPA, Dr Mohd Zakimi Zakaria.

Terdahulu, Mohd Zakimi berkata sebelum ini Suara Kita pernah diadakan pada Disember tahun lalu dengan speaker jemputan ialah Pengarah Urusan Oriak MKTG Sdn Bhd, Dr Furizat Yahya yang berkongsi mengenai Realiti Kerjaya dalam Keadaan Semasa pada siri pertama.

“Bagi siri kedua pula adalah mengenai Potensi & Kerjaya Dalam Pasaran Saham yang disampaikan oleh wakil Capital Market, Malacca Securities Sdn Bhd Tuan Muhammad Fakhrudin.

“Manakala siri ketiga ini PPA dan Alumni UniMAP@Chapter Tengah yang diketuai Alumni UniMAP selaku pengarah program, Aida Fakhrul Lamakasauk mengadakan kolaborasi bersama Akademi KRU bagi menyuntik ilmu dan pendedahan mengenai ekonomi digital,”  kata beliau.