Logo

UniMAP MARTABATKAN OLAHRAGA; ANJUR KURSUS KEJURULATIHAN

OLEH: SUHANA ABD MUTALIB

 

Arau, 16 Februari – Universiti Malaysia Perlis (UniMAP) dengan kerjasama Kesatuan Olahraga Malaysia (KOM) menganjurkan Kursus Kejurulatihan Olahraga KOM tahap 1, membabitkan 50 peserta yang terdiri daripada guru-guru sukan, jurulatih muda serta pelajar universiti.

Kursus yang dikendalikan secara dalam talian itu sekali gus menjadikan UniMAP sebagai organisasi pertama yang mengendalikan sepenuhnya kursus mengikut norma baharu susulan pandemik COVID-19 yang masih mencatatkan peningkatan kes terutamanya di Lembah Klang.

 

Pengarah Pusat Sukan UniMAP, Haji Suhizaz Sudin berkata, kursus yang bakal berlangsung selama 14 hari itu mengetengahkan modul kejurulatihan yang diluluskan oleh World Athletic dengan membabitkan penilaian secara teori dan amali.

Ujar beliau, sebagai sebuah universiti, pengembangan ilmu itu merupakan antara elemen yang perlu diberikan perhatian serius, justeru situasi pandemik ini sewajarnya tidak dijadikan sebagai alasan untuk menghentikan sebarang kegiatan dan aktiviti sukan.

“Atas dasar itu, UniMAP mengambil inisiatif berbincangan dengan KOM bagi mengendalikan kursus ini secara dalam talian yang mana ia diakui oleh KOM sebagai sesuatu yang baharu dan tidak pernah dilaksanakan. Ini keraja terdapat elemen kejurulatihan secara amalai yang perlu dilaksanakan oleh peserta, justeru mekanisme penilaian haruslah mengambil kira semua kekangan ini.

“Selepas beberapa siri perbincangan, KOM bersetuju dengan penganjuran ini yang diharap dapat dijadikan penanda aras untuk diikuti oleh organisasi lainnya di masa akan datang,” ujarnya dalam satu kenyataan di sini hari ini.

Kursus tersebut dikendalikan oleh Pengarah Pembangunan Kejurulatihan KOM, Anbarassuu Subramaniam dan Penolong Kanan Sukan, Sekolah Sukan Malaysia Terengganu, Abg. Sapani Abg. Sarbini. Kedua-duanya merupakan Pensyarah Terlatih World Athletic.

Mengulas lanjut, Haji Suhizaz berkata, UniMAP menyasarkan penyertaan dari kalangan guru dan pelajar dengan harapan dapat melahirkan lebih ramai jurulatih berkelayakan untuk  membimbing atlit di peringkat sekolah rendah dan menengah.

Namun, ujarnya, memandangkan ia merupakan penganjuran kali pertama, kursus tersebut turut menarik minat beberapa bekas atlit negara antaranya Sanmuganathan A/L R.Nainasagoram, Muhamad Idris Zakaria dan Danial Azuan Amar Nand serta Timbalan Pengarah Majlis Sukan Negeri (MSN) Kedah, Dr. Zulhusni Mohamad Rashid.

UniMAP juga telah mengadakan perbincangan dengan beberapa persatuan sukan lainnya bagi menganjurkan lebih banyak kursus sebegini di masa akan datang,” jelasnya.

 

 

 

Tagged under: UniMAP,
Template Design © Joomla Templates | GavickPro. All rights reserved.