A+ A A-

Program Profesional UniMAP Diiktiraf CIDB Malaysia

Oleh : AININULNIZA MOHD YUSOF

Kuala Lumpur, 22 Februari -Universiti Malaysia Perlis (UniMAP) melalui Fakulti Teknologi Kejuruteraan Awam (FTKA) dan Pusat Pembangunan Profesional dan Pembelajaran Berterusan (PDCE) menempa satu lagi sejarah apabila program Profesional diiktiraf oleh Lembaga Pembangunan Industri Pembinaan (CIDB) Malaysia.

Program di peringkat Diploma Profesional, Bacelor Profesional dan Master Profesional melalui dua disiplin iaitu Pembinaan Bangunan dan Pengurusan Bangunan & Penyelenggaraan Fasiliti itu ditawarkan dengan kerjasama Mega Jati Akademy (MJA).

 

Timbalan Naib Canselor (Akademik & Antarabangsa) UniMAP, Prof. Ir. Ts. Dr. Mohd Rizal Arshad berkata UniMAP amat teruja dengan pengiktirafan yang diterima kerana ini menunjukkan UniMAP komited dalam menawarkan program yang memenuhi permintaan industri semasa.

UniMAP sentiasa mencari alternatif dalam memperkasakan program pembelajaran sepanjang hayat (PSH) yang berbentuk upskilling dan reskilling yang boleh meningkatkan tahap kompetensi pekerja industri.

“Program profesional yang berbentuk bukan formal (bukan MQA) ini dikhaskan kepada kumpulan profesional yang telah berada dalam industri berkaitan. Perlaksanaan program-program ini secara separuh masa menggunakan kaedah penyampaian secara dalam talian dan hibrid, meningkatkan lagi minat calon mengikutinya kerana mereka tidak perlu bercuti bagi mengikuti proses pengajaran dan pembelajaran (PdP), “ kata beliau dalam satu kenyataan,di sini.

Tambah beliau, calon juga boleh mengikuti PdP di pejabat satelit UniMAP yang terletak di Kuala Lumpur (UniMAP@Kuala Lumpur) dan Kulim (UniMAP@Kulim).

“Operasi kedua-dua pejabat ini dikendalikan oleh PDCE dan mereka yang berjaya menamatkan program ini bukan sahaja memperolehi sijil kompetensi CIDB, malahan mereka akan bergraduat di Majlis Konvokesyen Tahunan UniMAP,” katanya.

Terdahulu, Dekan FTKA Dr Afizah Ayob berkata pengiktirafan yang diterima daripada CIDB adalah yang pertama di kalangan institusi pengajian tinggi dan akreditasi yang diterima ini membawa maksud bahawa semua tujuh program profesional anjuran UniMAP mematuhi Construction Skill Qualification Frameworks (CSQF) bagi Tahap 4, 5 dan 6 TVET Pembinaan iaitu CIDB merupakan Industrial Lead Body (ILB) bagi TVET Pembinaan Negara.

Ujarnya, program-program yang telah memperolehi akreditasi CIDB adalah Diploma Profesional Penyeliaan Tapak Pembinaan (Awam dan struktur, Elektrikal, Mekanikal, Bangunan & senibina), Diploma Profesional Pengurusan Fasiliti, Diploma Profesional Pengurusan Trafik.

“Selain itu bagi program Bacelor pula ialah Bacelor Profesional Pengurusan Pembinaan (Awam dan struktur, Elektrikal dan Mekanikal), Bacelor Profesional Pengurusan Fasiliti, Master Profesional Pengurusan Projek Pembinaan dan Master Profesional Pengurusan Fasiliti dengan pengkhususan iaitu perkhidmatan penjagaan kesihatan, perkhidmatan air, jalan & lebuhraya, pengurusan aset kereta api, tenaga, minyak & gas, pangkalan & pelabuhan dan lapangan terbang & perkhidmatan darat,” katanya.