A+ A A-

Kajian Kesan Virus Pada Serviks INEE UniMAP Raih 'Anugerah Best Of The Best' EREKA 2021

Oleh : AININULNIZA MOHD YUSOF

ARAU, 19 Februari – Kajian pasukan penyelidik Institut Kejuruteraan Nano Elektronik (INEE) Universiti Malaysia Perlis (UniMAP) mengenai hubungkait antara virus COVID-19 ( SARS-CoV-2) dan  virus Papilloma terhadap serviks dan sistem pembiakan wanita berjaya  meraih anugerah Best of The Best di Ekspo Rekacipta & Pameran Penyelidikan UniMAP (EREKA) 2021.

Kajian penyelidikan berkenaan dilakukan bagi menguji kehadiran virus SARS-CoV-2 berkenaan dalam sampel serviks sekaligus mengkaji kemungkinan korelasi dan kesan Human Papillomavirus (HPV) yang menyebabkan barah serviks.

 

Ketua penyelidik, Ts. Dr. Nor Azizah Parmin berkata penyelidikan itu dilakukan bersama penyelidik-penyelidik INEE iaitu Pengarah INEE Prof. Ts. Dr Uda Hashim, Prof Madya Dr Subash C.B Gopinath, Prof Madya Dr Ruslinda A. Rahim, Muhammad Nur Aiman Uda, Fatin Syakirah Halim dan Nur Fareezah Nadhirah Jaapar menggunakan analisis kejuruteraan genetik dan memindahkan ke platform biosensor.

Ujarnya, bioprobe atau lebih dikenali sebagai biopenanda berdasarkan bahagian spesifik virus telah dikenalpasti, disintesis dan digunakan dalam applikasi biosensor untuk pengesanan awal virus Papilloma dan SARS-CoV-2. Projek penyelidikan ini ada hasil usahasama INEE yang dikolaborasi bersama  dengan Institut Genom Malaysia (MGI) dianalisis bagi mengesan kehadiran bahan genetik SARS-COV-2 dan sekiranya ia positif, pengelasan HPV akan dilakukan bagi mengesan kemungkinan hubungan antara jangkitan COVID-19 dan jangkitan HPV.

“Analisis akan dilakukan dengan menggunakan biosensor khusus yang telah dikembangkan dan akan disahkan menggunakan HPV genotyping, HCII Hybrid Capture, RT-PCR dan RTK Kit. Penyelidikan mengenai jangkitan SARS-COV-2 menggunakan platform biosensor akan mengoptimumkan tahap pengetahuan penyelidikan kami terhadap realiti baharu virus yang tidak diketahui ini,” kata beliau ketika dihubungi, di sini.

Sementara itu, Naib Canselor UniMAP Prof Ir Dr R Badlishah Ahmad berkata walaupun negara sedang berdepan pandemik COVID-19, EREKA 2021 telah menerima 267 penyertaan iaitu penyertaan yang tertinggi dari sebelum ini dengan 181 penyertaan dalaman UniMAP dan 78 penyertaan dari institusi luar.

“Enam kategori yang dipertandingkan ialah Chemical, Advanced Material & Plastic, Food Technology & Agriculture Technology, Machinery and Equipment, Social Science Business & Technology & Innovation, Biotechnology, Medical Device & Pharmaceuticals dan Digital Technology, Electronics and IOT’s.

Melalui penganjuran EREKA 2021 ini juga produk-produk penyelidikan yang berkualiti tinggi dapat diketengahkan untuk dibawa ke pertandingan inovasi peringkat kebangsaan dan antarabangsa seperti MTE, ITEX, PECIPTA, SIIF, IENA dan sebagainya,” kata beliau ketika berucap merasmikan Penutupan EREKA 2021 secara dalam talian di Auditorium Bangunan Canselori, Kampus Alam UniMAP Pauh Putra, di sini, semalam.

Hadir sama ke majlis itu ialah Prof. Ts. Dr. Mohd Mustafa Albakri Abdullah yang menjalankan fungsi sebagai Timbalan Naib Canselor (Penyelidikan dan Inovasi) UniMAP.

EREKA merupakan program tahunan anjuran Pusat Inovasi dan Pengkomersialan (CIC) dengan kerjasama Pejabat Timbalan Naib Canselor Penyelidikan dan Inovasi (TNCPI) dan UniMAP Holdings Sdn Bhd serta penganjuran kali kedua bagi tahun ini yang dianjurkan secara dalam talian berikutan pandemik COVID-19.

Sebanyak 97 pingat emas , 135 pingat perak, dan 35 pingat gangsa dipertandingkan pada EREKA 2021.