A+ A A-

UniMAP LANCAR NOMBOR PLAT KHAS

OLEH : NURUL AIDA OTHMAN

ARAU, 24 Februari – Universiti Malaysia Perlis (UniMAP) melakarkan sejarah tersendiri apabila melancarkan nombor plat khasnya di sini, hari ini.

Naib Canselor UniMAP, Prof. Ir. Ts. Dr. R Badlishah Ahmad berkata, UniMAP bukanlah universiti pertama yang melancarkan nombor pendaftaran khas ini.

“Namun sesuatu yang unik ditawarkan oleh UniMAP ialah apabila kami memilih untuk melancarkan siri nombor pendaftaran UR.

 

“Kombinasi kedua huruf UR ini diambil bagi mewakili huruf U yang merupakan awalan perkataan UniMAP manakala R merupakan nombor pendaftaran kenderaan rasmi bagi negeri Perlis yang juga identiti negeri Perlis,” katanya ketika berucap pada Majlis Pelancaran Nombor Plat Khas UniMAP.

Turut berkenan berangkat hadir adalah Raja Muda Perlis Tuanku Syed Faizuddin Putra Jamalullail yang juga Canselor UniMAP.

Hadir sama Pengerusi Lembaga Pengarah Universiti Malaysia Perlis (UniMAP), Raja Dato’ Azwane Raja Ariff; Pengarah Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) Negeri Perlis, Fatimah Mohamed Ali Piah; Pengerusi UniMAP Holdings Sdn Bhd,Dato’ Ghazali Mat Arif; dan Ketua Pegawai Eksekutif Aquatwo Sdn Bhd, Datuk Muqharabbin Mokhtaruddin.

Tambah Prof. Dr. R Badlishah, UR juga mewakili kod program pengajian UniMAP di UPU Online dan pelajar yang mengakses permohonan dalam talian itu akan dapat melihat kod UR di dalam borang.

“UR dan UniMAP serta Perlis adalah sinonim dan pasti akan menjadi aspek yang akan mengimbau kenangan alumni mahupun pelajar sedia ada malah ia juga sesuai dimiliki oleh orang awam kerana bersifat universal,” katanya.

Ujarnya lagi, penjualan ini bermula susulan hasrat dan inisiatif kerajaan menerusi Pelan Strategik Pendidikan Tinggi Negara yang menyasarkan semua universiti awam untuk menjana pendapatan sendiri dan inisiatif ini membantu menguruskan pengoperasian universiti dengan lebih berkesan dan pada masa sama menjaga kebajikan pelajar yang merupakan pemegang taruh utama universiti.

Beliau juga menyasarkan penjualan nombor yang bermula UR1 hingga UR9999 itu bakal mencecah RM10 juta dan penjualannya dikendalikan oleh syarikat yang dilantik iaitu Syarikat Aquatwo Sdn Bhd.

“Syarikat Aquatwo bertanggungjawab sepenuhnya dalam proses pemasaran, penjualan/bidaan, pengurusan kewangan, lantikan ejen pemasaran, promosi dan sistem jualan/bidaan nombor pendaftaran khas ini.

“Bagi sesiapa yang berminat bolehlah melayari laman sesawang www.urplat.com bagi mengikuti perkembangan untuk membida nombor pendaftaran UR ini,” katanya.
Sementara itu, Syarikat Aquatwo Sdn Bhd dilantik setelah menandatangani Memorandum Perjanjian (MoA) antara syarikat tersebut dengan UniMAP dan UniMAP Holdings Sdn Bhd selepas berakhirnya majlis itu.

Untuk rekod, universiti lain yang telah melancarkan nombor plat khas ialah Universiti Utara Malaysia (UUM); Universiti Malaysia Terengganu (UMT); Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM); Universiti Teknologi Malaysia (UTM); Universiti Teknikal Malaysia Melaka (UTeM); Universiti Malaysia Sarawak (Unimas); Universiti Tun Hussein Onn Malaysia (UTHM); Universiti Malaysia Kelantan (UMK) dan lain-lain lagi.