- Kategori: BERITA - Malay
- Ditulis oleh Aininulniza
MPP UniMAP Komited Kebajikan Mahasiswa
OLEH : MPP SESI 2020/2021 & AININULNIZA MOHD YUSOF
ARAU, 8 Mac - Majlis Perwakilan Pelajar (MPP) Universiti Malaysia Perlis (UniMAP) Sesi 2020/2021 berikrar terus komited dalam memastikan kebajikan mahasiswa universiti itu terus terjaga walaupun masih menghadapi cabaran pandemik Covid-19.
Yang Dipertuanya, Abdul Khalim Al Azizi Syahril berkata beberapa usaha telah dirancang dan dirangka oleh MPP UniMAP dan mendapat sokongan penuh Timbalan Naib Canselor Hal Ehwal Pelajar dan Alumni UniMAP, Prof Dr Mohd Foad Sakdan.
Ujarnya, berdasarkan perbincangan bersama TNC HEPA, terdapat tiga usaha utama yang akan dilaksanakan oleh pihak MPP UniMAP antaranya adalah program “Ops Pulang ke Kampus” bagi membawa pulang mahasiswa ke kampus.
“Pihak MPP akan mengenalpasti beberapa lokasi terpilih bagi menyediakan perkhidmatan bas UniMAP dengan kos minimum ditanggung mahasiswa agar kepulangan mahasiswa ke kampus berjalan lancar dan kurang terdedah dengan orang awam,” katanya dalam satu kenyataan di laman sosial rasmi MPP UniMAP di sini.
Tambah beliau, dalam memperkasa Insentif Khas Kasih UniMAP pula, pihak MPP UniMAP akan memohon sebanyak RM 100,000.00 untuk disalurkan kepada mahasiswa yang terkesan akibat Pandemik Covid-19 serta dikategorikan dalam kumpulan B40 yang bakal memberi manfaat kepada sekurang-kurangnya 1,000 orang mahasiswa yang memerlukan.
“Permohonan bagi insentif ini akan diuruskan sepenuhnya melalui MPP UniMAP dengan jumlah keseluruhan perbelanjaan bagi usaha-usaha yang dinyatakan ini bakal menelan belanja hampir RM200,000.00,” katanya.
Terdahulu, MPP UniMAP Sesi 2020/2021 menerima watikah pelantikan pada 2 Mac baru-baru ini selepas proses Pilihanraya Kampus secara dalam talian pada 26 Januari lalu dengan agenda pemerkasaan mahasiswa terus menjadi fokus utama.