A+ A A-

Robot Semburan Pertanian INSAT UniMAP Mudahkan Aktiviti Ladang

OLEH: AININULNIZA MOHD YUSOF

PADANG BESAR, 12 Mac – Bagi memudahkan aktiviti ladang seperti semburan racun rumput, serangga dan baja organik cecair, pasukan penyelidik Institut Agroteknologi Lestari (INSAT) Universiti Malaysia Perlis (UniMAP) mencipta robot.

Robot “Agriculture Sprayer INSAT-1” direkabentuk untuk membantu petani itu adalah sebahagian daripada geran sepadan industri UniMAP-Private Matching Fund (UniPRIMA) bersama syarikat Abi Agro berjumlah RM30,000.

 

Ketua penyelidik, Dr Said Amirul Anwar berkata kawalan pergerakan robot berkenaan boleh dikawal menggunakan alat kawalan jauh dengan jarak maksimum yang boleh dikawal sejauh 500 meter.

Ujarnya, robot ini mempunyai sistem pengecas bateri secara automatik dimana 12 Volt altenator dipacu oleh enjin petrol 6 kuasa kuda (Hp) bagi mengecas bateri 12Volt.

“Dengan adanya sistem pengecas ini, robot mampu beroperasi pada jangka masa yang lama di ladang tanaman sekaligus membantu meningkatan produktiviti hasil tanaman, “ katanya ketika lawatan syarikat industri pertanian ke INSAT, di sini.

Turut hadir ke lawatan berkenaan ialah Naib Canselor UniMAP, Prof Ir Ts Dr R Badlishah Ahmad, Timbalan Naib Canselor Akademik dan Antarabangsa UniMAP, Prof Ir Ts Dr Mohd Rizal Arshad, Pengarah Pusat Pengurusan Penyelidikan (RMC) UniMAP, Prof Ts Dr Mohd Mustafa Al-Bakri Abdullah menjalankan fungsi sebagai Timbalan Naib Canselor Penyelidikan dan Inovasi UniMAP dan Pengarah INSAT.

Tambah beliau, penggunaan robot itu juga dapat mengurangkan kesan sampingan terhadap kesihatan petani akibat penggunaan racun selain dapat mengurangkan kos operasi ladang.

“Justeru, sekiranya ada pihak industri pertanian mahupun petani yang ingin menggunakan teknologi robot ini bagi aktiviti ladang, bolehlah berurusan dengan RMC UniMAP supaya dapat dimanfaatkan sebaiknya,” kata beliau.

Selain Dr Said Amirul, penyelidik yang  terlibat ialah Pengarah INSAT Prof Ir Ts Dr Abu Hassan Abdullah, Prof Madya Dr Muhammad Imran Ahmad, Mohd Nazri Abu Bakar, Wan Mohd Faizal Wan Nik, Shafie Omar, dan Shahrul Fazly Man@Sulaiman.

Sementara itu, Dr Mohd Mustafa berkata UniPRIMA adalah dana sepadan yang bertujuan bagi meningkatkan penglibatan dan kerjasama ahli akademik dengan pihak industri atau agensi luar.

Katanya, projek-projek penyelidikan yang ditaja melalui dana itu adalah berbentuk penyelesaian kepada masalah dan isu-isu industri atau agensi luar dan juga komuniti.