A+ A A-

UniMAP UNIVERSITI PERTAMA ANJUR MAJLIS TAMAT LATIHAN KOR SUKSIS SECARA NORMA BAHARU

OLEH: AININULNIZA MOHD YUSOF

ARAU, 13 Mac – Universiti Malaysia Perlis (UniMAP) menjadi universiti pertama menganjurkan Majlis Tamat Latihan dan Penyampaian Sijil Pelantikan Pegawai Kor Sukarelawan Siswa/Siswi Polis (Kor SUKSIS) bagi tahun ini dalam suasana norma baharu.

Berikutan pandemik Covid-19, majlis yang sepatutnya diadakan secara berpusat di Universiti Awam (UA) mengikut giliran ditetapkan kini diadakan secara persendirian di UA masing-masing mengikut Prosedur Operasi Standard (SOP) yang telah ditetapkan.

 

Timbalan Pengarah Jabatan Pencegahan Jenayah dan Keselamatan Komuniti (Operasi) JPJKK Bukit Aman, Deputi Komisioner Polis Datuk Idris Abdullah berkata situasi yang berlaku sejak setahun yang lalu telah banyak merubah perjalanan latihan pelatih Kor SUKSIS dengan mengamalkan norma baharu tanpa menjejaskan latihan dan kuliah yang dilaksanakan secara ‘hybrid’.

Ujarnya, dalam situasi yang tidak menentu, Kor SUKSIS tetap memainkan peranannya dengan terus mengikuti aktiviti modul yang telah ditetapkan dengan kaedah yang baharu  menggunakan pelbagai pendekatan dalam memastikan pemantapan pelatih berada dalam tahap yang optimum termasuklah penganjuran Majlis Tamat Latihan yang diadakan pada hari ini.

“Silibus Kor SUKSIS ini terbahagi kepada empat komponen, iaitu Latihan Luar, Latihan Akademik, Liberial dan Komponen Sahsiah dan Jati Diri. Justeru, Majlis Tamat Latihan dan Penyampaian Sijil Pelantikan Pegawai Kor SUKSIS adalah merupakan penghargaan Polis DiRaja Malaysia (PDRM) kepada pelatih-pelatih Kor Suksis yang berjaya tamat latihan,” kata beliau ketika berucap di majlis berkenaan di Dewan Kecemerlangan , di sini.

Turut hadir ke majlis itu ialah Timbalan Ketua Pengarah Pendidikan Tinggi (Penyelidikan) Prof Dr Mohd Cairul Iqbal Mohd Amin,Naib Canselor  UniMAP Prof Ir Ts Dr R Badlishah Ahmad, Ketua Polis Perlis Dato’ Surina Saad, Ketua Penolong Pengarah Bahagian Koordinasi Sumber Sokongan JPJKK PDRM  Asisten Komisioner Polis Mohd So- Ai- Hami Rahim dan Komandan Kor SUKSIS UniMAP Prof Dr Mohd Fo’ad Sakdan.

Sementara itu, Prof Ir Dr R Badlishah turut menyeru agar pelatih Kor SUKSIS yang berjaya menamatkan latihan dapat menjadi duta kecil yang berperanan penting bagi menarik minat mahasiswa baharu UniMAP menyertai Kor SUKSIS.

“Bersedialah menjadi jurucakap atau sumber rujukan mereka, mudah-mudahan dengan pemahaman yang anda berikan, secara tidak langsung dapat menarik minat mereka menyertai Kor SUKSIS.

“Saya berharap dengan peranan yang anda mainkan dapat meningkatkan jumlah pelatih yang akan menyertai Kor SUKSIS pada masa akan datang,” kata beliau.

Terdahulu, seramai 52 pelatih Kor SUKSIS UniMAP menerima watikah pelantikan Pegawai Kor SUKSIS.

Dalam majlis itu turut disampaikan Anugerah Pelatih Terbaik Latihan Luar kepada Nor Irdina Syaza Mat Sahbudin,  Anugerah Pelatih Terbaik Akademik kepada Azhar Amir dan Pelatih Terbaik Keseluruhan diraih oleh Meor Fareed Khaled.

Menyusuri penubuhannya, Kor SUKSIS UniMAP ditubuhkan pada tahun 2007 dengan pengambilan pelatih sulungnya seramai 50 orang dan kini jumlah pelatih Kor SUKSIS UniMAP yang telah ditauliahkan sehingga tahun 2016 adalah seramai 560.

Mengikut rekod sehingga tahun 2020, seramai 38 orang Inspektor Kor SUKSIS UniMAP (Alumni SUKSIS UniMAP) kini bertugas sebagai Pegawai Kanan PDRM.