- Kategori: BERITA - Malay
- Ditulis oleh Aininulniza
MPKK UNICITI ALAM GERAKKAN MISI FOOD BANK BANTU PENGHUNI TERJEJAS
Padang Besar, 29 Mac – Memahami kesulitan yang dihadapi mahasiswa mengikuti kuliah secara dalam talian , Universiti Malaysia Perlis (UniMAP) antara universiti yang mengambil pendekatan membenarkan mahasiswanya pulang ke kampus.
Namun, mahasiswa juga antara golongan yang terkesan dengan pandemik COVID-19 terutama apabila ada di antara mereka yang pendapatan keluarga turut terjejas.
Menyedari hakikat itu, Majlis Penghuni Kolej Kediaman Uniciti Alam (MPKKUA) UniMAP meganjurkan misi ‘Food Bank’ bagi meringankan beban mahasiswa di kolej kediaman berkenaan.
Yang Dipertua MPKKUA Muhamad Syafiq Kasim berkata Food Bank itu diadakan sebagai usaha memudahkan mahasiswa mendapatkan makanan dan mengurangkan pergerakan keluar dari kolej kediaman.
Ujarnya, tambahan banyak kedai makan tidak beroperasi di kawasan kampus sejak Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) dilaksanakan menyebabkan mahasiswa sukar mendapatkan makanan.
“Pada semester lepas, lebih 500 orang pelajar pulang kolej kediaman secara berkala dan program seumpama ini dimanfaatkan sepenuhnya oleh rakan-rakan mahasiswa,” katanya dalam satu kenyataan, di sini.
Tambahnya, MPKKUA membahagikan sumbangan bagi misi Food Bank itu kepada dua fasa dengan setiap fasa berlangsung selama tiga hari.
“Fasa 1 dijalankan kepada pelajar diploma manakala fasa 2 kepada pelajar Ijazah dengan juadah seperti nasi berlauk, nasi lemak, mi goreng dan biskut antara makanan yang disediakan,” katanya.
Sementara itu, Penolong Pengetua Kompleks Perumahan Uniciti Alam Mohd Syamril Aklmar Chek Kassim berkata program berkenaan turut mendapat perhatian pensyarah dan kakitangan UniMAP yang menyumbang makanan dan wang tunai.
Ujarnya, misi ini akan diteruskan MPKKUA setiap semester untuk meminimumkan pergerakan keluar kampus dan bagi mendidik para pelajar berjimat serta membantu mereka yang memerlukan.
“Sesungguhnya, saat kita memberi pasti kita kehilangan sesuatu, namun disebalik itu, sesuatu yang lebih besar menunggu kita suatu hari nanti,” katanya.