A+ A A-

ASPEK KEBERSAMAAN PERLU DIAMAL SEMUA KAKITANGAN UniMAP

OLEH : SUARA MERDEKA

ARAU, 24 Mac - Raja Muda Perlis Tuanku Syed Faizuddin Putra Jamalullail menitahkan bahawa aspek ‘Kebersamaan’ harus dijadikan amalan oleh seluruh warga Universiti Malaysia Perlis (UniMAP) dalam menghadapi cabaran dunia yang serba ‘Volatile, Uncertain, Complex dan Ambiguous (VUCA)’ iaitu dunia yang sukar dijangka.

‘Kebersamaan’ yang dimaksudkan adalah bukan sahaja di kalangan warga UniMAP semata-mata sebaliknya menerusi kerjasama industri, pihak komuniti, institusi ilmu lain, pihak kerajaan dan persekitaran bagi memastikan UniMAP sentiasa kekal maju.

 

Terang baginda, ‘Kebersamaan’ merupakan antara elemen penting dalam usaha mencapai objektif sesebuah organisasi. Hidup di dalam organisasi mengajar warganya tentang erti kerjasama, perpaduan dan bertolak ansur.

Ini kerana kejayaan dan kecemerlangan organisasi itu terletak pada perpaduan di kalangan anggotanya’.

Demikian titah Tuanku Raja Muda selaku Tuanku Canselor ketika berkenan berangkat merasmikan ‘Majlis Anugerah Seri Gemilang (ASG), UniMAP, Tahun 2020 yang diadakan di Dewan Kecemerlangan, Kampud Alam UniMAP, Pauh Putra.

Keberangkatan baginda diiringi Raja Puan Muda Perlis Tuanku Hajah Lailatul Shahreen Akashah Khalil merangkap Tuanku Pro Canselor disambut oleh Naib Canselor, Prof. Ir. Ts. Dr. R Badlishah Ahmad.

Dalam pada itu, Badlishah memaklumkan bahawa majlis tahunan ASG UniMAP ini dianjurkan bagi menzahirkan penghargaan kepada staf universiti berkenaan yang cemerlang dalam aspek perkhidmatan dan juga sumbangan dalam meningkatkan nama universiti agar lebih gah dan dikenali oleh komuniti setempat dan juga antarabangsa.

Pada ASG-2020 ini, seramai 137 orang menerima Anugerah Perkhidmatan Cemerlang berupa ganjaran RM1000 dan sijil manakala 29 lagi menerima Anugerah Khas Perkhidmatan Cemerlang masing-masing membawa pulang RM500 dan sijil.