Logo

Naib Canselor UniMAP PENERIMA ANUGERAH KHAS TOKOH PENYELIDIKAN TAHUN 2020

Oleh : NURUL AIDA OTHMAN

KANGAR, 27 Mac - Naib Canselor Universiti Malaysia Perlis (UniMAP), Prof. Ir. Ts. Dr. R Badlishah Ahmad dinobatkan penerima Anugerah Khas Tokoh Penyelidikan Tahun 2020 di sini, semalam.

Anugerah disampaikan oleh Timbalan Naib Canselor Penyelidikan dan Inovasi, Prof. Ts. Dr. Mohd Mustafa Albakri Abdullah pada Majlis Anugerah Kecemerlangan Penyelidikan (AKP) 2020.

Menurut Prof. Dr. Mustafa, anugerah ini diberikan atas kapasiti sumbangan dan jasa yang diberikan oleh Naib Canselor kepada universiti dalam bidang penyelidikan.

“Prof. Dr. R Badlishah telah menyokong pelbagai agenda berkaitan penyelidikan di UniMAP.

 

“Malah atas ketokohan yang beliau tunjukkan kepada warga UniMAP telah menjadikan beliau seorang ikon dan sumber inspirasi kepada penyelidik muda UniMAP,” kata beliau ketika ditemui selepas majlis AKP 2020.

Turut hadir pada majlis tersebut adalah Timbalan Naib Canselor (Akademik dan Antarabangsa), Prof. Ir. Ts. Dr. Mohd Rizal Arshad; dan Timbalan Naib Canselor (Hal Ehwal Pelajar dan Alumni), Prof. Dr. Mohd Fo’ad Sakdan.

Tambah Prof. Dr. Mustafa, atas inisiatif dan dorongan Prof. Dr. R Badlishah juga telah berjaya memperbaiki kedudukan UniMAP di tangga 165 dari 489 institusi di Asia dalam penarafan yang dibuat oleh Times Higher Education (THE) Young University Rankings 2020.

“Pelbagai inisiatif telah digerakkan beliau di peringkat universiti bagi meningkatkan pencapaian dalam penyelidikan termasuklah inisiatif dana khas penyelidikan dan inovasi untuk tahun 2021 berjumlah RM2 juta,” katanya.

Sementara itu, seramai 158 penyelidik telah menerima pelbagai kategori anugerah atas kecemerlangan yang ditunjukkan dalam bidang penyelidikan sepanjang tahun 2020.

Majlis APK adalah kesinambungan bagi majlis Anugerah Seri Gemilang (ASG) UniMAP yang telah berlangsung pada 24 Mac 2021 lepas.

 

 

 

 

 

Template Design © Joomla Templates | GavickPro. All rights reserved.