A+ A A-

158 PENYELIDIK UniMAP DIRAIKAN DALAM AKP 2020

Oleh : NURUL AIDA OTHMAN

KANGAR, 27 Mac - Seramai 158 penyelidik Universiti Malaysia Perlis (UniMAPTemp files) diraikan dalam Majlis Anugerah Kecemerlangan Penyelidikan (AKP) 2020 di sini, semalam.

Majlis tersebut adalah kesinambungan Majlis Anugerah Seri Gemilang (ASG) yang diadakan pada 24 Mac lalu.

Menurut Naib Canselor UniMAP, Prof. Ir. Ts. Dr. R Badlishah Ahmad, penganjuran ini merupakan salah satu cara universiti dalam menzahirkan penghargaan kepada penyelidik UniMAP.

“Saya secara peribadi amat menghargai pencapaian anda semua kerana pencapaian anda adalah sumbangan yang menaikkan nama UniMAP,” katanya ketika berucap pada majlis tersebut.

 

“Tanpa sumbangan penyelidik, pasti sukar buat UniMAP untuk menempatkan diri pada kedudukan 151-200 dalam Times Higher Education (THE) Young University Rankings 2020.

Tambah Prof. Dr. R Badlishah, secara terperincinya UniMAP berada pada kedudukan 165 daripada 489 institusi di Asia.

“Pencapaian yang kita raih ini sebenarnya membuktikan bahawa kita sememangnya mampu untuk bersaing dengan universiti antarabangsa.

“Kita tidak perlu lagi berasa kerdil untuk bersaing dengan universiti-universiti ternama yang lain terutama dalam bidang penyelidikan,” katanya.

Beliau berharap anugerah ini mampu menjadi pembakar semangat buat penyelidik dalam mencetus idea dan kreativiti dalam penyelidikan serta memberi manfaat buat masyarakat dan Negara.

Turut hadir adalah Timbalan Naib Canselor (Akademik dan Antarabangsa), Prof. Ir. Ts. Dr. Mohd Rizal Arshad; Timbalan Naib Canselor (Penyelidikan dan Inovasi), Prof. Ts. Dr. Mohd Mustafa Albakri Abdullah; dan Timbalan Naib Canselor (Hal Ehwal Pelajar dan Alumni), Prof. Dr. Mohd Fo’ad Sakdan.

Pada majlis sama turut diraikan pengamal media yang banyak menyumbang dalam penulisan berita penyelidikan UniMAP iaitu akhbar Berita Harian, Harakah, Sin Chew Daily, RTM dan Suara Merdeka.