A+ A A-

UniMAP LANCAR PORTAL E-LEARNING MAMPU TAMPUNG 1000 PENGGUNA

OLEH : AININULNIZA BT MOHD YUSOF

KANGAR, 28 April – Universiti Malaysia Perlis (UniMAP) menerusi agenda UniMAP 2025 iaitu Teras Pengajaran Berpaksikan Inovasi melancarkan portal e-Learning UniMAP melalui inisiatif daripada Majlis e-Pembelajaran IPTA (MEIPTA), di sini hari ini.

Portal yang sebelum ini dikenali sebagai e-Learning Lab dibangunkan pada 2017 yang kemudian dinaik taraf kemudahan pelayar membabitkan peruntukan RM50, 000 itu kini dapat menampung kira-kira 1000 pengguna pada satu-satu masa.

 

Timbalan Naib Canselor Akademik dan Antarabangsa UniMAP yang menjalankan fungsi sebagai Naib Canselor UniMAP, Prof Ir Ts Dr Mohd Rizal Arshad berkata portal berkenaan dibangunkan dengan kira-kira 241 kursus aktif menerusi Mod Pembelajaran Teradun sebelum Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) dilaksanakan pada Mac tahun lalu.

Ujarnya, hasil komitmen Pusat Pembangunan Kepimpinan Pendidikan Lestari (LEAD) dan Pusat Pengurusan dan Pembangunan Digital (DMDC) UniMAP merealisasikan pembangunan semula portal berkenaan sejajar dengan hasrat ‘UniMAP Go Digital’ dan juga ‘Perlis Go Digital’.

“Kini, seiring dengan pelaksanaan pengajaran dan pembelajaran norma baharu sehingga Februari 2021, sebanyak 704 kursus yang ditawarkan di peringkat pengajian prasiswazah merangkumi kaedah pembelajaran bersemuka dan dalam talian,” kata beliau ketika berucap di Majlis Pelancaran Portal e-Learning UniMAP dan Anugerah Video Kreativiti P&P, di sini.

Turut hadir ialah Pengarah LEAD Prof Dr Mohd Salleh Abdul Rashid.

Sementara itu, Anugerah Video Kreativiti P&P 2.0 bagi tahun 2020 berjaya diraih pensyarah Fakulti Sains Gunaan dan Kemanusiaan, Nur Farhinaa Othman yang membawa pulang wang tunai berjumlah RM1,000 beserta medal dan sijil penyertaan.

Bagi tempat kedua dan ketiga pula diraih Mohd Hafiz Ismail dari Fakulti Teknologi Kejuruteraan Elektronik dan Dr Khairun Nisa’ Khairuddin dari Fakulti Sains Gunaan dan Kemanusiaan.

Selain anugerah berkenaan, turut disampaikan Anugerah Khas Inovasi Pertama kepada Dr Mohamad Ezral Baharudin, Dr Azuwir Mohd Nor, Dr Mohd Sazli Saad dan Dr Mohd Zakimi Zakaria dari Fakulti Teknologi Kejuruteraan Mekanikal (FTKM) menerusi inovasi mereka iaitu Lightboard Studio dalam Pengajaran Dalam Talian.

Bagi Anugerah Khas Inovasi Kedua diraih Ts Mohd Haidiezul Jamal Ab Hadi dan Ts Mohamad Suhaimi Shahrin dari (FTKM) dengan inovasi bertajuk Realiti Maya, Gamifikasi dalam Pembelajaran.

Tagged under: UniMAP, berita,