A+ A A-

SEMBILAN MOA UniMAP BERSAMA INDUSTRI MENERUSI GERAN SEPADAN UniPRIMA

Oleh: Aininulniza Mohd Yusof

PAUH PUTRA, 23 Jun – Sembilan dokumen memorandum perjanjian (MoA) ditandatangani antara Universiti Malaysia Perlis (UniMAP) dan lapan buah industri menerusi menerusi geran UniMAP Private Matching Fund (UniPRIMA).

Industri berkenaan ialah Opensoft Technologies Sdn Bhd, Smart KJ Food Industries (Asia) PLT, PMD Changlun , Walta Engineering, Naswira Enterprise, PeSTeC Network, Abi Agro dan juga Jabil Curcuit yang mempunyai dua projek bersama penyelidik UniMAP.

Timbalan Naib Canselor (Akademik dan Antarabangsa) UniMAP, Prof. Ir. Dr. Mohd Rizal Arshad berkata memorandum itu dimerterai bagi membuka peluang kepada penyelidik bagi menjalin kerjasama dengan industri dan agensi luar.

Ujarnya, semua projek UniPRIMA ini adalah projek yang telah bermula tahun lalu kecuali Jabil Circuit yang bermula pada tahun ini.

 

“Projek-projek ini diharapkan dapat meningkatkan penghasilan projek yang bukan sahaja yang diterbitkan dalam penerbitan akademik tetapi mempunyai impak terhadap komuniti luar termasuk industri, agensi swasta dan masyarakat setempat,” kata beliau ketika menyampaikan ucapan di Majlis Menandatangani MoA UniPRIMA secara dalam talian di sini.

Opensoft Technologies Sdn Bhd diwakili Jefri Bin Ismail (Sales Manager) ,Smart KJ Food Industries (Asia) PLT oleh Mohd Khairul Ya’kub (Managing Director), PMD Changlun oleh NorHisam Abdul Jalil (Director), Walta Engineering oleh Goh Kheng Sneah (Group Managing Director), Naswira Enterprise oleh Mohammad Nasrun Saad (Director), PeSTeC Network oleh Nazmin Abdullah (Chief Executive Officer), Abi Agro oleh Mohd Ashraf Shuib (Director) dan Jabil Circuit Sdn. Bhd. oleh Zambri Samsudin (Senior Manager Engineering Services) yang juga dilaksanakan secara dalam talian.

Turut hadir ialah Timbalan Naib Canselor (Penyelidikan & Inovasi) UniMAP, Prof Ir. Dr Rizalafande Che Ismail, Ketua Bahagian Pusat Keusahawanan, Jaringan Industri dan Masyarakat (CEICnet) UniMAP, dan Timbalan-timbalan Pengarah Pusat Pengurusan Penyelidikan UniMAP.

Tambah beliau, pada tahun lalu UniMAP menerima 22 permohonan bagi menjayakan UniPRIMA itu namun hanya lapan permohonan dapat diperakukan memandangkan jumlah dana UniMAP yang kecil.

“Namun pada tahun ini Pusat Pengurusan Penyelidikan (RMC) UniMAP melalui inisiatif Rangsangan Penyelidikan & Inovasi UniMAP 2021 telah menyediakan dana UniPRIMA berjumlah RM825,000 dengan sasaran 50 hingga 40 projek penyelidikan.

“Sehingga kini Universiti memperakukan tiga permohonan UniPRIMA dari penyelidik Bersama kolaborator industry termasuk Jabil Circuit manakala dua lagi projek masih dalam proses penyediaan MoA,” kata beliau yang juga menjalankan fungsi Naib Canselor UniMAP.

Geran UniPRIMA adalah berkonsepkan geran sepadan di mana pihak kolaborator dari industry atau agensi luar perlu menyumbang dana sekurang-kurangnya dengan jumlah minima RM10,000 bagi bidang Sains & Teknologi atau RM5000 bagi bukan bidang Sains & Teknologi.

UniPRIMA juga mestilah bersifat penyelesaian kepada masalah atau keperluan industri/agensi/institusi luar selain ia mestilah mempunyai ciri-ciri penyelidikan dan bukan penyelesaian masalah melalui pembelian terus solusi/produk yang telah berada di pasaran.