A+ A A-

UniMAP PERLUAS JARINGAN KERJASAMA SYARIKAT DARI MEKAH

Oleh : Aininulniza Mohd Yusof

Pauh Putra, 4 Julai – Walaupun berdepan dengan pandemik COVID-19 yang masih belum menemui titik penamat, Universiti Malaysia Perlis (UniMAP) komited memperluaskan jaringan kerjasama di peringkat global.

Kali ini universiti berteraskan kejuruteraan di utara Malaysia itu menjalinkan kerjasama dengan sebuah syarikat di kota suci Mekah iaitu Wadi Makkah Knowledge Company (WMKN),baru-baru ini.

 

Timbalan Naib Canselor (Akademik dan Antarabangsa) UniMAP, Prof Ir Ts Dr Mohd Rizal Arshad berkata memorandum persefahaman (MoU) yang ditandatangani antara kedua-dua pihak memainkan peranan penting dalam menyediakan kakitangan dan pelajar yang aktif dalam hubungan antara dua budaya khususnya.

Ujarnya,  UniMAP akan memberikan sokongan dan komitmen penuh terhadap WMKN bagi menggalakkan dan mempromosi kerjasama dalam pertukaran kepakaran, teknologi dan pengetahuan; pembangunan pegawai samada profesional mahupun akademik; program promosi, latihan dan pembangunan staf serta pelajar; serta kolaborasi dalam bidang lain yang dipersetujui dari masa ke semasa.

“Dalam kerjasama bidang pendidikan dan latihan, kedua-dua pihak juga dapat melaksanakan projek khidmat masyarakat bagi meningkatkan tanggungjawab sosial korporat dan pembangunan ummah iaitu memberi latihan untuk memudahkan urusan mengerjakan haji dan umrah selain bertukar kepakaran dalam sistem halal serta meningkatkan kecekapan pengurusan masjid mengikut visi kepimpinan kedua-dua negara,” kata beliau.

Dalam memorandum persefahaman berkenaan UniMAP diwakili Prof Dr Mohd Rizal yang menjalankan fungsi Naib Canselor UniMAP manakala WMKN diwakili Ketua Pegawai Eksekutifnya, Eng. Ameen Yamany.

Turut hadir dalam majlis yang diadakan secara dalam talian berkenaan ialah Pengerusi Lembaga Pengarah WMKN Dr Adnan Almazrooa, Presiden Kuala Lumpur International Chamber of Commerce (KLICC), Profesor Adjung Hashim Saleh, Dekan Fakulti Sains Gunaan dan Kemanusiaan (FSGM) UniMAP Prof Madya Ku Halim Ku Ariffin, Pengarah Pusat Libatsama Antarabangsa, Prof Madya Dr Tunku Salha Tunku Ahmad serta delegasi daripada ketiga-tiga institusi berkenaan.

Tambah Prof Dr Rizal, menerusi inisiatif berharga itu beliau percaya matlamat universiti dalam memberikan pendidikan berterusan kepada semua profesional yang bekerja dan membolehkan pelajar menyedari potensi mereka.

“Sehubungan itu, MoU yang ditandatangani hari ini bakal memberi platform yang berguna bagi kedua-dua pihak meneroka peluang yang lebih jauh untuk bekerjasama dan mengembangkan faedah untuk manfaat kedua-dua pihak,” kata beliau.

 

Tagged under: UniMAP, berita,