A+ A A-

UniMAP JALIN KERJASAMA PENYELIDIKAN DENGAN UNIVERSITI DAN INDUSTRI INDONESIA

Oleh : Aininulniza Mohd Yusof

Pauh Putra, 5 Julai – Universiti Malaysia Perlis (UniMAP) sentiasa memastikan bidang penyelidikan terus diberi keutamaan walaupun berdepan kekangan akibat pandemik COVID-19 yang turut melanda global.

Atas dasar itu, UniMAP menjalinkan kerjasama dengan dua universiti serta sebuah industri dari negara jiran iaitu Universitas 17 Agustus Surabaya (UNTAG), Universitas Muhammadiyah Sumatera Utara (UMSU) dan FAB Enterprises menerusi memorandum perjanjian (MoA) secara dalam talian, hari ini.

 

UniMAP diwakili Timbalan Naib Canselor (Akademik dan Antarabangsa) UniMAP Prof Ir Ts Dr Mohd Rizal Arshad manakala UNTAG diwakili Rektornya, Prof Dr Mulyanto Nugroho, Timbalan Rektor (Kewangan dan Sumber Manusia) UMSU Prof Madya Dr Akrim, M.Pd pula mewakili UMSU manakala FAB Enterprises diwakili Pengerusi Lembaga Pengarahnya, Dr. Capt Fausta Ari Barata MM.

Prof Dr Mohd Rizal berkata memorandum perjanjian dimerterai bagi memastikan sebuah projek penyelidikan bertajuk “Leveraging Interactive Digital Technology and Virtual Learning Spaces in Enhancing  Motivation, Participation  and Achievement Parameters  in  Cross-Border Collaborative Online Classrooms” dapat dilaksanakan dalam tempoh dua tahun.

“Perjanjian penyelidikan kolaboratif empat (4) pihak ini antara tiga universiti yang dan sebuah industri melambangkan usaha bersama dalam mengumpulkan dana berjumlah USD 8000 untuk menampung kos penyelidikan.

Dana ini dikumpul menerusi sumbangan setiap rakan penyelidikan dan akan digunakan untuk menaja pelajar pascasiswazah dari UMSU, dan mahasiswa dari UniMAP, selain membiayai penerbitan buku dan scopus,” kata beliau ketika berucap di Majlis Menandatangani MOA secara dalam talian itu, di sini.

Turut hadir dalam majlis berkenaan ialah Timbalan Rektor (Hal Ehwal Pelajar) UMSU Prof Madya Dr Rudianto M.S.i , Rector III UNTAG Dr. Ir. Muaffaq A. Jani,  Timbalan Naib Canselor (Penyelidikan & Inovasi) UniMAP Prof Ir Ts Dr Rizalafande Che Ismail, Penasihat Undang-undang UniMAP Zainudin Zainon, Dekan Fakulti Sains Gunaan dan Kemanusiaan (FSGM) UniMAP Prof Madya Ku Halim Ku Ariffin, Dekan Fakulti Teknologi Kejuruteraan Elektronik Prof Madya Dr Azremi Abdullah Al-Hadi, Pengarah Pusat Libatsama Antarabangsa (CIE) Prof Madya Dr Tunku Salha Tunku Ahmad, Penyelidik Utama Geran Penyelidikan Kolaboratif Antarabangsa itu Prof Ir Ts Dr R Badlishah Ahmad , dan Ketua Jabatan Pusat Sains Liberal FSGM UniMAP Dr Sharmini Abdullah.

Tambah Prof Mohd Rizal, projek penyelidikan kolaboratif ini turut menyokong 17 Matlamat Pembangunan Lestari (SDGs) dalam Agenda Bangsa-bangsa Bersatu 2030 yang menggabungkan lima dimensi (5P).

“Lima dimensi berkenaan ialah orang, kemakmuran, planet, perkongsian dan kedamaian bagi membantu pelajar dan pendidik untuk menyesuaikan diri dengan penggunaan teknologi digitalisasi dalam pengajaran dan pembelajaran, dan mengatasi cabaran sebagai usaha memenuhi keperluan pendidikan tinggi yang berterusan di dalam dan luar negara.

Diharapkan program dan aktiviti penyelidikan yang akan dilakukan dalam bidang penyelidikan kolaboratif ini dapat menangani masalah mengenai pengajaran jarak jauh, pengajaran dan pembelajaran terpadu dan dalam talian, sistem pengurusan pembelajaran atau LMS dan bilik darjah maya yang kini menjadi tumpuan dalam era pandemik pada masa kini,” kata beliau yang juga menjalankan fungsi Naib Canselor UniMAP.