A+ A A-

Lawatan Rasmi Menteri MITI Ke UniMAP 26 Jun

Pauh Putra, 19 Jun – Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri (MITI) , Datuk Seri Mustapa Mohamed dijadualkan membuat lawatan rasmi ke Universiti Malaysia Perlis (UniMAP) pada 26 Jun ini.

Lawatan beliau bersama 100 warga Parlimen Jeli dan delegasi pegawai kanan MITI itu bakal dibawa melawat ke Kampus Tetap UniMAP di sini selain Kampus Uniciti Alam, Sungai Chuchuh di Padang Besar.

Naib Canselor UniMAP , Datuk Prof Dr Kamarudin Hussin berkata warga UniMAP tidak sabar menanti ketibaan menteri yang begitu dekat di hati universiti itu sejak awal penubuhan Kolej Universiti Kejuruteraan Utara Malaysia (KUKUM) yang ketika itu beliau masih memegang jawatan Menteri Pengajian Tinggi.

“Banyak jasa YB Datuk Sri Mustapa Mohamed terhadap UniMAP termasuk memperjuangkan UniMAP daripada kolej universiti kepada universiti sekaligus memberi peluang yang amat cerah kepada UniMAP sehingga mencapai kecemerlangan sehingga kini.

“Justeru kedatangan beliau amat dinanti-nantikan memandangkan hubungan UniMAP dengan Parlimen Jeli juga begitu erat dengan pelbagai program anjuran bersama yang pernah diadakan di Parlimen berkenaan serta UniMAP sendiri selama sembilan tahun sebelum ini. Kapasiti beliau sebagai Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri kini juga amat bertepatan dengan hubungan baik UniMAP bersama Industri yang telah menjalinkan pelbagai bentuk kerjasama,” kata beliau.

Hubungan erat antara UniMAP dan Parlimen Jeli sejak sembilan tahun lalu telah terjalin dengan pelbagai program bersama seperti program Baktisiswa, Klinik Olahraga, Klinik Bahasa Inggeris serta majlis berbuka puasa bersama penduduk kampung di Parlimen berkenaan selain lawatan penduduk kawasan berkenaan ke UniMAP.

Antara program yang diatur sempena lawatan rasmi Datuk Seri Mustapa ialah jamuan mesra rakyat bersama warga Parlimen Jeli serta mahasiswa Kelantan di Uniciti, demontrasi robot dan produk penyelidikan, penjenamaan makmal-industri, majlis menandatangani memorandum perjanjian (MoA) dan memorandum persefahaman (MoU) di antara UniMAP dengan industri serta pameran sejarah hubungan  UniMAP dengan Parlimen Jeli.

Datuk Seri Mustapa yang juga Ahli Parlimen Jeli turut dijadual mengadakan pertemuan dengan Yang Amat Berhormat Menteri Besar Perlis, Datuk Seri Azlan Man dan mengadap Duli Yang Maha Mulia Raja Perlis, Tuanku Syed Sirajuddin Jamalullail.