A+ A A-

PRESIDEN POTENSI UniMAP KEKAL MENERAJUI MASTI

Oleh: Nurul Aida Othman

PAUH PUTRA, 2 Julai - Presiden Persatuan Pegawai Tadbir dan Ikhtisas (POTENSI) Universiti Malaysia Perlis (UniMAP), Yang Mulia Raja Shah Erman Raja Arifin kekal menerajui Majlis Persatuan Pentadbir Universiti Awam Malaysia (MASTI) untuk penggal kedua bagi sesi 2021-2023.

Beliau yang sebelum ini pernah dipilih pada tahun 2019 bagi tempoh dua tahun dari 2019-2021 terus mendapat sokongan dan undian tertinggi dari 20 buah POTENSI Universiti Awam (UA) Malaysia pada Mesyuarat Agung Tahunan (AGM) kali ke-10 yang dianjurkan Universiti Tun Hussein Onn Malaysia (UTHM) secara dalam talian, baru-baru ini.

Menurut Raja Shah Erman, beliau berasa terharu dengan sokongan yang diterima pada pemilihan tersebut dan ia merupakan satu tanggungjawab besar yang perlu digalas oleh beliau.

 

“Saya berazam untuk merealisasikan sasaran yang ditetapkan MASTI pada 2019 - Empat Tahun Halatuju MASTI (2019-2023) yang menekankan tiga objektif strategik (OS) iaitu pengukuhan bakat; pemerkasaan jaringan strategik; dan peningkatan keilmuan profesionalisme.

“Saya yakin kepimpinan MASTI yang baharu dilantik ini akan terus proaktif dan penuh komitmen bagi mencapai OS tersebut agar semua pentadbir profesional UA mendapat manfaat secara komprehensif UA,” katanya ketika dihubungi.

Ujar beliau lagi, MASTI dalam masa terdekat ini juga akan membawa beberapa cadangan kepada Kementerian Pengajian Tinggi (KPT) dan Jabatan Perkhidmatan Awam Malaysia (JPA) berkaitan perjawatan dan masa depan pentadbir seperti yang terkandung dalam Cadangan Transformasi Skim Pentadbir Universiti Awam (SPU).

Dalam pada itu, beliau turut menzahirkan penghargaan atas kepercayaan dan sokongan yang diterima daripada semua ahli persatuan termasuk rakan strategik seperti JKPUA, JKSUMA, CUEPACS, GAKUM, AKePT dan termasuk rakan-rakan media yang membantu dalam menjayakan inisiatif MASTI sehingga MASTI telah memenuhi 3R (Referred, Respected and Relevant).

“Saya sentiasa memegang teguh kepada konsep "kebersamaan" (togetherness) dan yakin bahawa ia adalah kunci kekuatan untuk saya dan rakan-rakan memperkasa dan memartabatkan peranan pentadbir seiring dengan visi kegemilangan Institusi Pendidikan Tinggi (IPT) di negara ini,” katanya.

Untuk rekod, MASTI yang ditubuhkan sejak dua dekad yang lalu merupakan gabungan Persatuan Pentadbir Profesional yang mempunyai kira-kira 9,652 ahli dari 20 Universiti Awam di Malaysia.