A+ A A-

UniMAP METERAI MOU DENGAN IKS PERLIS

OLEH: AININULNIZA MOHD YUSOF

PAUH PUTRA, 5 Ogos – Universiti Malaysia Perlis (UniMAP) menandatangani memorandum persefahaman (MoU) dengan sebuah syarikat industri kecil dan sederhana (IKS) di negeri ini, hari ini.

MoU itu dimeterai UniMAP bersama Madina Food Industries iaitu IKS pertama di Perlis yang dianugerahkan Sijil Good Manufacturing Practice (GMP) oleh Bahagian Keselamatan dan Kualiti Makanan , Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM).

 

Timbalan Naib Canselor (Akademik dan Antarabangsa) UniMAP Prof Ir Ts Dr Mohd Rizal Arshad berkata UniMAP berasa amat bertuah kerana dapat bersama-sama membangunkan dan menyumbang kepakaran menambahbaik operasi dan produktiviti dalam industri IKS di Perlis.

Beliau berkata, kolaborasi antara kedua-dua pihak adalah dalam bentuk aktiviti-aktiviti akademik, penyelidikan bersama, seminar, bengkel dan sebahagiannya sedang berjalan di Madina Food Industries.

“Ia sekaligus membuktikan UniMAP tidak meminggirkan IKS dan sentiasa agresif mengambil peluang bersama-sama industri bagi mengasah bakat penyelidik muda serta pada masa yang sama membantu membangunkan industri IKS,” katanya yang juga menjalankan fungsi Naib Canselor UniMAP ketika berucap di Majlis Menandatangani MoU berkenaan secara dalam talian, di sini.

Turut hadir secara dalam talian ialah Penasihat Undang-undang UniMAP Tuan Zainudin Zainon, Dekan Fakulti Teknologi Kejuruteraan Mekanikal (FTKM) UniMAP Prof Madya Ir Dr Mohd Shukry Abdul Majid, Pengurus Madina Food Industries Muhamad Rizal Osman, Pengurus Pemasaran Madina Food Industries Norafdzaniza Othman, Ketua Bahagian Kerjasama Industri & Agensi Kerajaan (CEICNet) Prof Madya Dr Shahrir Rizal Kasjoo dan kumpulan penyelidik Clean Carbon Research Group (CCRG) FTKM.

Prof Dr Mohd Rizal berkata UniMAP menerusi Centre for Entrepreneurship Industry & Community Network (CEICNet) yang diketuai Penolong Naib Canselor membangunkan satu sistem pangkalan data industri UniMAP dikenali iBase sebagai platform mengumpulkan data kerjasama UniMAP dengan industri.

“Ia mengumpulkan data berkaitan aspek kebolehpasaran graduan, kolaborasi dan latihan industri sekaligus memudahkan setiap fakulti memantau kerjasama industri dan merangka strategi bagi meningkatkannya.

“Justeru, UniMAP akan memastikan Madina Food Industries akan terus memberi kepercayaan kepada universiti ini untuk membantu memacu perkembangan serta menepati kehendak industri dengan situasi ‘menang-menang’ menerusi jalinan ini,” katannya.

Untuk rekod, Madina Food Industries adalah IKS yang mengeluarkan produk serbuk pra-campuran minuman koko dan kopi yang terletak di Beseri Perlis.