A+ A A-

PELIHARA NILAI TERAS UniMAP - RAJA MUDA PERLIS


Oleh: Nurul Aida Othman & Aininulniza Mohd Yusof 

PAUH PUTRA, 12 Ogos - Raja Muda Perlis, Tuanku Syed Faizuddin Putra Jamalullail berkenan berangkat menyaksikan ‘Majlis Serah Tugas Naib Canselor Universiti Malaysia Perlis (UniMAP)’ yang diadakan di Pejabat Naib Canselor, Bangunan Canselori, Kampus Alam UniMAP Pauh Putra, semalam.

Majlis diadakan selepas Lt Kol Prof. Ts. Dr. Zaliman Sauli dilantik oleh Kementerian Pengajian Tinggi (KPT) bagi mengambil alih amanah sebagai Naib Canselor keempat UniMAP berkuat kuasa 9 Ogos 2021 sehingga 8 Ogos 2024 daripada Prof. Ir. Ts. Dr. R. Badlishah Ahmad yang memegang jawatan tersebut dari 15 Mei 2019 sehingga 27 Mac 2021.

Baginda bertitah, agar nilai teras Universiti Malaysia Perlis (UniMAP) iaitu "Ilmu, Keikhlasan, Kecemerlangan” sentiasa dijaga dan dipelihara begitu juga dalam aspek integriti dan pengekalan nama baik universiti.

“Diharapkan lebih banyak kejayaan bakal ditempa dan agenda pembangunan universiti terus diutamakan demi menjamin kemenjadian pelajar dan keterlihatan universiti di peringkat global. Semoga UniMAP akan terus unggul dan cemerlang di persada antarabangsa,” kata Baginda

.

Baginda yang juga Tuanku Canselor UniMAP turut mendoakan kepimpinan baharu universiti ini akan meneruskan matlamatnya untuk menjadi antara Universiti Awam terbaik di dunia.

Berangkat sama ialah Raja Puan Muda Perlis, Tuanku Hajah Lailatul Shahreen Akashah Khalil yang juga Tuanku Pro Canselor UniMAP.

Turut hadir ialah mantan Naib Canselor UniMAP, Prof. Ir. Ts. Dr. R Badlishah Ahmad dan Pendaftar universiti, Mohd Saad Din.

Baginda turut menitahkan ucapan penghargaan kepada Prof. Dr. R Badlishah atas segala khidmat bakti dan tidak ketinggalan kepada dua lagi bekas Naib Canselor iaitu Datuk Prof. Emeritus Dr. Kamarudin Hussin dan Dato’ Prof. Dr. Zul Azhar Zahid Jamal dengan harapan mereka akan terus mencurahkan bakti kepada universiti.

Sementara itu, Prof. Dr. Zaliman memohon limpah perkenan dan sokongan baginda berdua untuk beliau menabur bakti demi pembangunan agenda pendidikan negara serta memastikan UniMAP terus melakar kejayaan dalam apa jua bidang diceburi.

Dalam pada itu, ketika berucap pada Majlis Perjumpaan Naib Canselor Bersama Ketua Jabatan yang berlangsung pagi semalam, beliau turut menzahirkan penghargaan kepada pihak Kementerian Pengajian Tinggi (KPT) atas kepercayaan menerajui UniMAP bagi tempoh tiga tahun bermula 9 Ogos 2021.

Sehubungan itu, beliau berhasrat memperkasakan transformasi penyampaian pendidikan ke arah pendigitalan dengan kurikulum perlu bersesuaian dengan Revolusi Industri 4.0 yang didasarkan dengan penemuan pelbagai teknologi baharu yang menggunakan analisis, robotic, cloud, Internet of Things (IoT) dan teknologi automasi yang lain.

Bagi merealisasikan transformasi berkenaan, prasarana yang diperlukan akan ditingkatkan agar pelaksanaan semua aktivitinya termasuk pengajaran dan pembelajaran (PdP) dapat dilaksanakan secara efektif.

Malah beliau mengharapkan komitmen dan kerjasama daripada warga UniMAP bagi bersama-sama mengembleng tenaga untuk memastikan kecemerlangan UniMAP selain turut menyatakan sokongannya terhadap saranan pihak KPT yang mementingkan peranan universiti kepada masyarakat (unimap4society).

“Saya percaya UniMAP sudah melaksanakan peranannya khusus kepada masyarakat Perlis cuma keterlihatannya dalam kalangan sesetengah agensi dilihat kurang menyerlah.

“Tetapi saya yakin dengan kekuatan akademik dan penyelidikan yang ada di UniMAP kita akan berjaya menyerlahkan peranan UniMAP untuk manfaat dan pembangunan komuniti,” katanya.

Ujarnya, UniMAP juga berhasrat mengemaskini kecemerlangannya dengan melihat faktor seperti penjenamaan semula, kedudukan (ranking) dan keterlihatan UniMAP bagi memastikan kecemerlangan UniMAP dapat dipertingkatkan lagi walaupun dalam situasi COVID-19.

UniMAP sebelum ini berada di kedudukan yang memberangsangkan tetapi semakin menurun atas beberapa faktor dan saya serta pengurusan UniMAP akan memberikan perhatian bagi meningkatkan kedudukan UniMAP.

“Malah, saya juga akan memberi fokus bagi pemantapan tadbir urus supaya proses kerja yang dilaksanakan di UniMAP mengikut prosedur-prosedur yang telah ditetapkan,” katanya.