A+ A A-

KOLOKIUM PENTADBIR UniMAP 2021 : SEMUA TRANSFORMASI DALAM UNIVERSITI PERLU JELAS

Oleh : Aininulniza Mohd Yusof

PAUH PUTRA, 17 Ogos – Universiti Malaysia Perlis (UniMAP) atau Universiti Awam (UA)  lain disaran agar menjelaskan pelaksanaan transformasi kepada semua warga universiti sama ada manfaatnya itu khusus kepada individu, organisasi atau negara.

Semua transformasi berkenaan perlu dijelaskan kerana mereka yang akan melaksanakannya adalah warga universiti itu sendiri yang ia adalah salah satu pendekatan dipanggil sebagai pelan yang tersusun berdasarkan teori atau falsafah pengurusan perubahan.

Saranan berkenaan diutarakan oleh Timbalan Ketua Pengarah Perkhidmatan Awam (Pembangunan) Jabatan Perkhidmatan Awam (JPA) Datuk Seri Suhaime Mahbar menerusi ucaptama beliau bertajuk Memimpin Transformasi di Kalangan Penjawat Awam ketika merasmikan  Kolokium Pentadbir UniMAP 2021.

 

Beliau berkata, perubahan kepada organisasi sebenarnya banyak bergantung kepada diri kita sendiri yang berada dalam organisasi iaitu pentadbir sendiri adalah pemimpin transformasi itu dengan menggunakan panduan The 4 I’s Of Transformational Leader.

“Yang pertama ialah Individualised Condideration iaitu sebagai pemimpin perlu menjadi ‘role model’ atau berubah terlebih dahulu agar menjadi ikutan orang lain manakala ciri kedua adalah Inspirational Motivation iaitu memberi motivasi serta inspirasi bukan sahaja dalam aspek kewangan malahan dari segi ekosistem, tunjuk ajar dan paling penting memberi ruang kerana tidak semua perubahan akan berjaya dengan mudah.

“Yang ketiga pula ialah Intellectual Stimulation di mana pemimpin mempunyai idea atau cadangan bagi melakukan perubahan serta Idealised Influence yang juga gabungan daripada ciri yang pertama saya sebutkan tadi,” kata beliau.

Turut hadir ialah Naib Canselor UniMAP Prof Dr Zaliman Sauli, pengurusan tertinggi UniMAP,  Presiden POTENSI Raja Shah Erman Raja Arifin yang juga Presiden MASTI.

Tambah beliau, konsep AIDA yang lazimnya digunakan dalam pemasaran juga boleh digunapakai bagi menimbulkan kesedaran, keinginan, kehendak dan tindakan bagi menjayakan transformasi.

Sementara itu, Prof Dr Zaliman berkata UniMAP kini mempunyai seramai 13,000 pelajar dan 2,108 staf dengan 210 orang daripadanya adalah Pegawai Tadbir & Ikhtisas.

Ujarnya, dalam mendukung aspirasi melalui pelan transformasi negara dan UniMAP sendiri, kekuatan sumber manusia perlulah selari untuk melaksanakan pelbagai inisiatif yang telah dirancang.

“Dengan usia dua Dekad, UniMAP kini berlari dan berdiri sama hebat dengan Universiti Awam yang lain, namun jika dilihat UniMAP masih memerlukan tambahan kapasiti sumber manusia khususnya staf pentadbiran agar mencapai nisbah purata seperti Universiti yang lain bagi memastikan kecekapan perkhidmatan yang tangkas dan efektif,” katanya ketika menyampaikan ucapan aluan di majlis secara dalam talian berkenaan.

Beliau turut melahirkan harapan agar kepimpinan organisasi UniMAP juga dapat melaksanakan transformasi menerusi perkongsian bermanfaat yang diberikan Datuk Seri Suhaime dalam ucaptamanya itu.

Kolokium anjuran Persatuan Pegawai Tadbir dan Ikhtisas (POTENSI) dengan kerjasama Jabatan Pendaftar UniMAP dan Majlis Persatuan Pentadbir Universiti Awam (MASTI) itu dianjurkan sempena Sambutan Hari Pentadbir Universiti Awam Malaysia dan Sambutan 20 Tahun Penubuhan UniMAP berlangsung selama dua hari bermula hari ini.

Selain Datuk Seri Suhaime, Pengarah Eksekutif Majlis Tindakan Ekonomi Negara (MTEN) Prof Tan Sri Dato’ Seri Noor Azlan Ghazali menyampaikan ucaptama kedua bertajuk Krisis Kesihatan Vs Krisis Kewangan Global : Peranan Penting Penjawat Awam Mendepani Revolusi manakala ucaptama ketiga disampaikan Tuan Mohd Shahril Abdullah, Pengarah Bahagian Kolaborasi dan Masyarakat JPT dengan tajuk Pandemik COVID-19 : Peluang atau Cabaran kepada Pentadbir Universiti.