A+ A A-

KETUA PENGARAH KKM RASMI ISUM II, TUJUH KERTAS KERJA DIBENTANG

Oleh: Aininulniza Mohd Yusof

PAUH PUTRA, 18 Ogos – Sebanyak tujuh kertas kerja membabitkan 24 peserta dibentang pada Seminar Antarabangsa Pengurusan Universiti II (ISUM II) dengan tema Mendepani Masa Hadapan : Memimpin Perubahan Dalam Norma Baharu.

ISUM II anjuran Persatuan Pegawai Tadbir dan Ikhtisas (POTENSI) Universiti Malaysia Perlis (UniMAP) dengan kerjasama Fakulti Sains Gunaan dan Kemanusiaan (FSGM) UniMAP, Akademi Pendidikan Tinggi (AKEPT), Majlis Persatuan Pentadbir Universiti Awam Malaysia (MASTI) , Institute of Informatics and Business Darmajaya Indonesia, Pejabat Timbalan Naib Canselor Penyelidikan & Inovasi UniMAP, dan Pusat Pengurusan Penyelidikan (RMC) UniMAP itu dirasmikan Ketua Pengarah Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) , Tan Sri Dato’ Seri Noorhisham Abdullah menerusi ucapan pembukaan yang disampaikan secara dalam talian.

 

Dr. Noorhisham berkata dalam memimpin perubahan organisasi khususnya ketika dalam menghadapi pandemik COVID-19 yang amat mencabar ini acapkali terdapat situasi yang memerlukan tindakan dan keputusan yang tepat dalam masa yang amat singkat.

Ujarnya, keputusan yang tepat dalam masa yang singkat ini perlu mengambil kira pelbagai faktor dan keadaan semasa agar keputusan itu bermanfaat kepada semua lapisan organisasi terutamanya apabila berdepan dengan keselamatan dan kesihatan seluruh rakyat Malaysia.

“Komunikasi yang berkesan memerlukan seseorang pemimpin menyampaikan maklumat dan idea dengan terang serta jelas agar ianya mudah difahami oleh semua lapisan organisasi,” kata beliau.

Turut hadir pada  ISUM II itu ialah Naib Canselor UniMAP Prof Ts Dr Zaliman Sauli, pengurusan tertinggi UniMAP, Dr. Mieke Rahayu wakil daripada Institute of Informatics & Business Darmajaya, Indonesia, Dekan FSGM Prof Madya Ku Halim Ku Ariffin ,Presiden POTENSI Raja Shah Erman Raja Arifin yang juga Presiden MASTI dan Pengarah ISUM II, Shah Rizan Mohd Rejab.

Tambah beliau, pemimpin juga perlu memastikan komunikasi dua hala agar maklum balas yang diutarakan daripada orang sekeliling dapat disampaikan sekaligus merungkai sebarang masalah dengan pantas serta efektif.

“Ketegasan dalam membuat sesuatu keputusan adalah amat penting namun cabaran utama kepada pemimpin dalam melakukan keputusan adalah kekuatan untuk menjadi fleksibel agar lebih responsif terhadap sesuatu masalah atau cabaran,” kata beliau.

Selain beliau, Pengarah Eksekutif Majlis Tindakan Ekonomi Negara (MTEN) Prof Tan Sri Dato’ Seri Dr Noor Azlan Ghazali  dan Pendaftar Universiti Sains Malaysia (USM) Dr Musa Ali turut hadir sebagai Speaker Jemputan sepanjang dua hari seminar itu berlangsung sempena Hari Pentadbir Universiti Awam Malaysia yang disambut 20 Ogos setiap tahun.   

Untuk rekod, ISUM kali pertama diadakan pada 3 dan 4 Oktober 2019 di Bangkok, Thailand.