A+ A A-

UniMAP HANTAR SUKARELAWAN BANTU MANGSA BANJIR


Oleh: Nurul Aida Othman

PAUH PUTRA, 22 Ogos - Universiti Malaysia Perlis (UniMAP) menghantar seramai 40 sukarelawan bagi membantu mangsa banjir lumpur di Yan, Kedah.

Naib Canselor UniMAP, Lt Kol Prof. Ts. Dr. Zaliman Sauli berkata, misi sukarelawan membabitkan 10 kakitangan dan 30 mahasiswa universiti itu bergerak pada jam 8.30 pagi tadi menggunakan dua buah van dan sebuah bas.

“Mereka ke kawasan dilanda banjir lumpur di Yan untuk membantu penduduk yang terkesan termasuk di sekolah terpilih antaranya Sekolah Kebangsaan Haji Nyak Gam.

“Misi ini bagi membantu melaksanakan tugasan mencuci dan membersihkan kawasan yang dipenuhi lumpur akibat banjir berkenaan,” katanya dalam satu kenyataan selepas melakukan pelepasan kenderaan bagi Misi Sukarelawan UniMAP: OPS Kasih Banjir 2021 di Bangunan Canselori universiti tersebut hari ini.

Hadir sama adalah Pengarah Pusat Pembangunan dan Perkhidmatan Pelajar (P3P) yang juga ketua delegasi, Prof. Madya Ts. Ir. Dr. Muzammil Jusoh; dan Pengarah Jabatan Keselamatan, Mustaffa Ismail.

 

Tambah Prof. Dr. Zaliman lagi, misi fasa pertama UniMAP telah bergerak semalam (21 Ogos) bagi membantu 10 pelajar UniMAP yang dikenal pasti terkesan akibat bencana tersebut.

UniMAP juga telah menyalurkan bantuan berupa keperluan makanan harian bernilai RM100 dan juga wang tunai RM100 dengan menggunakan Tabung Kebajikan dan Tabung Bencana kepada pelajar-pelajar berkenaan.

“Semoga sumbangan tidak seberapa ini mampu memberikan sedikit keceriaan kepada mereka,” katanya.

Beliau pada majlis sama turut berpesan kepada semua sukarelawan menjaga diri dan mematuhi SOP yang telah ditetapkan serta melaksanakan tugasan dengan sebaiknya dengan mengambil kira sensitiviti mangsa banjir.

Sementara itu, Yang Di-Pertua Majlis Perwakilan Pelajar (MPP) UniMAP, Abdul Khalim Al Azizi Syahril berkata beliau dan seramai 10 sukarelawan telah meninjau kawasan terjejas semalam selain turut mengedarkan bantuan banjir kepada 10 pelajar UniMAP yang terjejas.

“Kami ke sana semalam bagi melihat secara dekat kawasan terjejas yang perlu diberikan bantuan.

“Hari ini kami akan ke sana lagi untuk kerja-kerja pembersihan sekolah yang terjejas dan juga kawasan sekitarnya,” katanya.

Bagi pelajar tahun akhir Ijazah Sarjana Muda Kejuruteraan Elektronik Bioperubatan, Nurfatihah Azman (24), peluang menyertai misi ini adalah sesuatu yang berharga dan perlu dimanfaatkan dengan sebaiknya agar dapat membantu mereka dalam kesusahan.

“Saya benar-benar berasa simpati dengan kejadian yang menimpa penduduk di sana dan apabila terpilih untuk misi kali ini, ia adalah satu penghormatan yang tidak ternilai buat saya.

“Inilah peluang kami untuk menabur bakti kepada masyarakat dan berharap kehadiran kami akan membantu mempercepatkan proses pembersihan tersebut,” katanya.

Beliau juga berhasrat untuk menggunakan kembali pengalaman sewaktu menyertai misi bantuan banjir ke negerinya di Kelantan beberapa tahun lalu.