- Kategori: BERITA - Malay
- Ditulis oleh Fazemil
UniMAP TUAN RUMAH ASP 2021
Oleh: Nurul Aida Othman
PAUH PUTRA, 17 Ogos - Pandemik COVID-19 yang menyerang dunia sejak 2020 telah merubah corak kehidupan masyarakat dunia secara keseluruhannya.
Ini kerana tidak kira apa jua industri turut mengalami perubahan drastik dalam mengadaptasi norma baharu yang diperkenalkan oleh kerajaan termasuk sektor pendidikan tinggi.
Menurut Naib Canselor Universiti Malaysia Perlis (UniMAP), Lt Kol Prof. Ts. Dr. Zaliman Sauli, UniMAP sendiri terkesan dengan corak perubahan dunia akibat COVID-19.
“Banyak rencana kita terpaksa ditunda atau dibatalkan ekoran wabak ini antaranya program persidangan dan mobiliti antarabangsa yang tertunda sejak 2020 lagi.
“UniMAP sepatutnya menjadi tuan rumah bagi Asia Summer Program (ASP) dan Asian Faculty Workshop (AFW) tahun lepas tetapi terpaksa ditangguhkan kerana COVID,” katanya ketika berucap dalam talian pada ASP 2021 dan AFW 2021 yang masing-masing diadakan bermula 16 dan 25 Ogos serta dijangka berakhir 29 Ogos 2021 ini.
Tambah Prof. Dr. Zaliman, walaupun COVID banyak memberi impak negatif tetapi di sudut positif ia menjadi rahmat dalam mendidik komuniti untuk mempelajari teknologi terkini.
“Institusi pendidikan tinggi (IPT) menjadi lebih kreatif dan berimpak dalam penyediaan bahan ilmu yang boleh dikongsi dengan pelajar dan komuniti sekali gus memberi idea kepada pelaksanaan program mobiliti maya.
“Mobiliti maya adalah jawapan menggantikan mobiliti fizikal yang membuka lebih banyak peluang dan ruang bagi penganjuran program dan meningkatkan jumlah peserta yang terlibat.
Ujarnya, peningkatan penyertaan ini berikutan kos yang lebih rendah kerana tiada keperluan membayar pengangkutan, penginapan dan makanan.
“Ini adalah antara kelebihan kita dalam situasi pandemik yang selari dengan tema program iaitu networking without leaving your home (kerjasama tanpa meninggalkan rumah).
“Jelas bahawa teknologi digital banyak membantu kebiasaan baharu dalam sistem pendidikan kita yang membolehkan aktiviti fizikal yang sebelum ini tidak dapat dianjurkan menjadi realiti melalui aktiviti hybrid,” katanya.
ASP 2021 dan AFW 2021 adalah anjuran UniMAP dengan kerjasama Dongseo University, Korea; Bangkok University, Thailand; Josai International University, Japan; Guangdong University of Foreign Studies, China; dan Universitas Kristen Petra, Indonesia.
Prof. Dr. Zaliman berkata program ini masing-masing disertai seramai 120 dan 25 peserta dari enam dan lima negara antaranya Korea, Jepun, Filipina, China, Bangladesh, Indonesia, Thailand dan Malaysia.
“ASP menekankan elemen budaya, kreativiti dan kerjasama dalam semua aktiviti dan bidang pengajarannya bagi membentuk dan memberi pemahaman mengenai kepelbagaian perspektif budaya Asia kepada bakal pemimpin masa depan.
“Saya percaya peserta akan memperolehi pengalaman yang luar biasa dan berpeluang untuk menimba pengalaman melalui ASP 2021 walaupun secara maya,” katanya
Ujar beliau, bagi AFW yang dimulakan oleh Guangdong University of Foreign Studies di bawah kerangka Forum Presiden Universiti Asia (AUPF) pertama kali dianjurkan oleh universiti tersebut pada 2019 menekankan cara berkomunikasi dan pengukuhan hubungan antara universiti di Asia.
Untuk rekod, ASP diperdebatkan pada 2012 oleh Presiden Dongseo University Korea, Dr. Jekuk Chang; dan Rektor Universitas Kristen Petra di Indonesia, Professor RollyIntan sebagai medan kerjasama antara institusi pendidikan tinggi seluruh Asia dan ia dianjurkan secara penggiliran antara universiti pengasasnya bagi membolehkan peserta merasai perbezaan budaya sesebuah negara.