A+ A A-

UniMAP LANCAR KEMPEN KIBAR JALUR GEMILANG DAN BULAN KEBANGSAAN

Oleh : Aininulniza Mohd Yusof

PAUH PUTRA, 25 Ogos 2021 – Universiti Malaysia Perlis (UniMAP) melancarkan kempen Kibar Jalur Gemilang dan Bulan Kebangsaan peringkat universiti itu bagi menyemarakkan semangat kemerdekaan dalam kalangan warganya, hari ini.

Naib Canselor UniMAP,Lt Kol Prof Ts. Dr Zaliman Sauli berkata beberapa pengisian program sepanjang bulan kemerdekaan turut dirancang termasuk Malam Kemuncak Sayembara Deklamasi Puisi Artistik Hari Malaysia (SDPAHM) 2021 peringkat Negeri Perlis.

 

Ujarnya, program tahunan Persatuan Pemuisi Nasional Malaysia (PEMUISI) itu dianjurkan dengan kerjasama Jawatankuasa Induk Sasterawan di university ; Fakulti Sains Gunaan dan Kemanusiaan (FSGM) UniMAP, Angkatan Sasterawan Indera (AKSARA) Perlis dan Dewan Bahasa dan Pustaka Wilayah Utara (DBPWU).

“Program ini juga dianjurkan bersempena Sambutan 20 Tahun penubuhan UniMAP, Sambutan Dekad Bahasa Kebangsaan dan Sambutan Bulan Kebangsaan. Di samping itu, maklumat mengenai program atau aktiviti lain sepanjang tempoh ini juga boleh diikuti melalui laman sosial rasmi universiti,” ujarnya dalam satu kenyataan selepas melancarkan kempen Kibar Jalur Gemilang dan Bulan Kebangsaan di Bangunan Canselori, Kampus UniMAP, di sini.

Turut hadir ialah Timbalan-timbalan Naib Canselor UniMAP dan Pegawai-pegawai Utama universiti.

Tambah Prof Dr Zaliman, walaupun dalam situasi pandemik COVID-19 beliau menyeru agar warga UniMAP sentiasa bersama-sama menerapkan semangat patriotisme dan cintakan negara dalam menghadapi wabak berkenaan.

“Demi memulihkan negara daripada ancaman COVID-19, kita perlu sentiasa mematuhi Prosedur Operasi Standard (SOP) dan sentiasa saling mengingati sesama kita agar kita dapat bebas dan merdeka daripada wabak itu dengan segera.

 

“Walau bagaimanapun saya turut mengalu-alukan penyertaan semua warga UniMAP dalam aktiviti mahupun program anjuran Pusat Tanggungjawab (PTj) mahupun fakulti bagi memeriahkan bulan ini serta menaikkan semangat patriotisme kita sebagai rakyat Malaysia walaupun diadakan dalam suasana norma baharu,” kata beliau