A+ A A-

UniMAP ANJUR KURSUS PEMASARAN DALAM TALIAN BANTU KOMUNITI

Oleh : Aininulniza Mohd Yusof

PAUH PUTRA, 27 Ogos – Universiti Malaysia Perlis (UniMAP) menerusi Pusat Perhubungan Alumni (PPA) mengambil inisiatif menganjurkan Kursus Pemasaran Online kepada tiga komuniti yang terpilih sekitar negeri ini.

Inisiatif berkenaan adalah bertepatan dengan konsep ‘Universiti untuk Masyarakat’ (USR) yang menjadi matlamat UniMAP dalam memindahkan ilmu atau kemahiran kepada komuniti untuk dipraktikkan bagi meningkatkan kesejahteran hidup mereka.

 

Timbalan Naib Canselor Hal Ehwal Pelajar dan Alumni (HEPA) UniMAP, Prof Dr Mohd Fo’ad Sakdan berkata Pusat Komuniti Desa (PKD) yang terpilih bagi program kali ini ialah PKD Felcra Lubuk Sireh , PKD Kok Klang dan PKD Bongor Kudong membabitkan 60 peserta.

UniMAP memahami ramai yang terjejas akibat daripada penutupan syarikat dan pengecilan struktur organisasi sesebuah syarikat berikutan pandemik COVID-19 yang menyebabkan mereka hilang pekerjaan.

“Justeru, pendedahan mengenai pemasaran dalam talian yang merupakan salah satu strategi berimpak besar dilihat dapat membantu komuniti memperolehi pendapatan menerusi perniagaan,” kata beliau dalam satu kenyataan di sini, baru-baru ini.

Tambah beliau, kursus pemasaran dalam talian itu disampaikan oleh alumni UniMAP sendiri iaitu Mohd Fahimie Hassan yang merupakan pemilik Asputra Seafood yang terkenal di Kuala Perlis dan Nur Hazwani Abdullah dari syarikat pemasaran, Hazfa Maju Enterprise.

Ujarnya, kursus ini juga dapat memberi pengetahuan kepada komuniti berkaitan ilmu pemasaran dalam talian bagi memaksimumkan jualan serta pendapatan dan mengurangkan perbelanjaan kos pemasaran untuk perniagaan.

“Di samping itu, program USR seperti ini dapat meningkatkan kesedaran alumni UniMAP terhadap aktiviti-aktiviti khidmat masyarakat yang dapat disumbangkan oleh mereka bukan sahaja kepada universiti malahan komuniti setempat,” katanya.

Kursus berkenaan diadakan secara dalam talian menggunakan aplikasi Google Meet berikutan pandemik COVID-19.