- Kategori: BERITA - Malay
- Ditulis oleh Fazemil
ROZALITA SAUPI WAKIL PERLIS KE SDPAHM 2021 PERINGKAT KEBANGSAAN
Oleh: Nurul Aida Othman
Pauh Putra, 28 Ogos - Rozalita Saupi bakal mewakili Perlis ke pertandingan akhir Sayembara Deklamasi Puisi Artistik Hari Malaysia (SDPAHM) 2021 peringkat kebangsaan pada 15 September 2021 ini jam 8.00 malam secara dalam talian melalui facebook DBP dan facebook Pemuisi Berkarya.
Beliau mewakili Politeknik Tuanku Syed Sirajuddin (PTSS) terpilih selepas dinobatkan penerima Anugerah Emas pada SDPAHM 2021 peringkat negeri Perlis yang berlangsung secara dalam talian, malam tadi.
Rozalita yang menyampaikan puisi bertajuk Pesan Untuk Anak menewaskan 11 peserta lain dan berjaya membawa pulang wang tunai RM300, hadiah iringan berupa plak, hadiah buku dan sijil penyertaan.
Malah beliau turut memenangi Anugerah Busana Terbaik seterusnya layak membawa pulang RM100, plak, hadiah buku dan sijil.
Tempat kedua atau Anugerah Perak pula diraih Muhamad Qauyum Zawawi Ahamad Suffin dari UniMAP yang juga dipilih menerima Anugerah Persembahan Terbaik melalui puisi Tanah Ini Milik Kita membawa pulang wang tunai RM200 dan RM100, plak, hadiah buku dan sijil penyertaan.
Manakala Mohd Jorasmin Mat Isa dari Kolej Matrikulasi Perlis merangkul tempat ketiga atau Anugerah Gangsa seterusnya membawa pulang wang tunai RM100, plak, hadiah buku dan sijil penyertaan.
Empat lagi peserta iaitu Nurzakiyah Mohd Ridzuan Balakrishnan (UniMAP); Noryusry Mansor (Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Syed Hassan); Abdul Manaf Hassan (SMK Tengku Suleiman); dan Nor Fa’alina Abu Hassan (PTSS) masing-masing menerima saguhati berupa wang tunai RM50, hadiah buku dan sijil.
Naib Canselor UniMAP, Lt Kol Prof. Ts. Dr. Zaliman Sauli berkata UniMAP menyambut baik pelawaan PEMUISI untuk menganjurkan SDPAHM 2021 Peringkat Negeri Perlis bersama-sama AKSARA dan DBP Wilayah Utara bagi menyemarakkan sambutan Bulan Kebangsaan yang meraikan Ulang Tahun Kemerdekaan Negara kali ke-64 dan Hari Malaysia kali ke-58.
“Saya melihat program ini menjadi serampang dua mata kepada UniMAP khususnya dalam usaha mengukuhkan hubungan kerjasama strategik dengan Pertubuhan Bukan Kerajaan (NGO) dan Dewan Bahasa dan Pustaka.
“Kerjasama pintar sebegini dapat memacu pembangunan modal insan melalui bidang kebahasaan dan susastera negara sekali gus memartabatkan peranan Sasterawan Negara di Universiti Awam seperti aspirasi Kementerian Pengajian Tinggi,” katanya ketika berucap merasmikan sayembara tersebut.
Malah ujar beliau, deklamasi seumpama ini penting dijayakan dalam usaha memperkukuh jati diri dan kecintaan kepada akar bangsa, agama dan negara melalui apresiasi terhadap khazanah sastera, bahasa dan budaya negara.
“Sayembara ini juga diadakan bersempena dengan Dekad Bahasa Kebangsaan dan yang paling utamanya Sayembara Deklamasi Puisi Artistik Hari Malaysia 2021 ini adalah sebahagian aktiviti sambutan 20 Tahun Penubuhan UniMAP: 2 Dekad Tradisi Gemilang bertemakan Teknologi, Transformasi, Komuniti.
“Semoga program ini dapat menyokong agenda kegemilangan UniMAP dan pembangunan modal insan unggul dalam bidang kemanusiaan selain teknologi dan kejuruteraan,” katanya.
Prof Dr Zaliman turut menzahirkan penghargaan kepada Persatuan Pemuisi Nasional Malaysia (PEMUISI) kerana telah mengiktiraf Pusat Kebudayaan UniMAP sebagai Kerabat Pemuisi.
“Hubungan kekerabatan ini dapat menjadi batu asas kepada perkembangan dan kemajuan bersama dalam bidang kebahasaan, kesusasteraan dan kebudayaan negara dengan paradigma baharu,” katanya.
Pada majlis sama, beberapa pemuisi negara turut mendeklamasikan puisi antaranya Sasterawan Negara yang juga Profesor Adjung UniMAP, Dato’ Dr. Zurinah Hassan yang mendeklamasikan puisi beliau bertajuk Setelah Terbina Keyakinan; Penasihat ASKARA, Dato’ Rahman Shaari dengan puisi sendiri, Lapangan Merdeka; Presiden PEMUISI, Dato’ Dr. Radzuan Ibrahim dengan puisi, Bahasaku Makin Parah.
Turut mendeklamasikan puisi ialah Prof. Dr. Zaliman sendiri dengan tajuk UniMAP Dua Dekad Tradisi Gemilang hasil ciptaan Cahaya Malam.