- Kategori: BERITA - Malay
- Ditulis oleh Fazemil
ICADME 2021 TERIMA LEBIH 100 MANUSKRIP
Oleh: Nurul Aida Othman
PAUH PUTRA, 24 Ogos - Universiti Malaysia Perlis (UniMAP) menerima lebih 100 manuskrip dalam dan luar negara bagi International Conference on Applications & Design in Mechanical Engineering 2021 (ICADME 2021) yang berlangsung secara hybrid, semalam.
Naib Canselor UniMAP, Lt Kol Prof. Ts. Dr. Zaliman Sauli berkata persidangan kali ketujuh ini akan membuka ruang dan peluang baharu kepada penyelidik untuk menyelesaikan cabaran global.
“Persidangan ini adalah medium perkongsian kepada penyelidik, pendidik, pelajar dan industri untuk bertukar idea dan penemuan penyelidikan dalam bidang masing-masing agar boleh diperluaskan lagi menjadi sumber rujukan dunia.
“Malah ia adalah peluang kepada mereka untuk berbincang mengenai cabaran terkini yang dihadapi oleh dunia penyelidikan dan industri selain boleh mewujudkan jaringan kerjasama antara penyelidik dari bidang yang sama,” katanya ketika berucap merasmikan persidangan tersebut.
Tambah beliau, ICADME 2021 turut menerima penyertaan dari luar negara antaranya Australia dan Indonesia.
“UniMAP sendiri menghantar lebih 60 manuskrip diikuti oleh beberapa Institusi pengajian tinggi lain dan industri,” katanya.
Untuk rekod, ICADME mula dianjurkan pada 2007 dengan singkatan nama CADME sebelum dilaksanakan ke peringkat antarabangsa.