- Kategori: BERITA - Malay
- Ditulis oleh Fazemil
ASP 2021 DAN AFW 2021 PLATFORM TERBAIK HARUNGI CABARAN PENDIDIKAN GLOBAL
Oleh: Aininulniza Mohd Yusof
Asia Summer Program (ASP) yang dicetuskan pada 2012 adalah sebuah program mobiliti selama dua minggu berkredit bagi pelajar-pelajar universiti di Asia yang menjadi ahli gabungan Asian University Presidents Forum (AUPF) pada 2013 apabila Universiti Malaysia Perlis (UniMAP) menjadi tuan rumah penganjuran forum antarabangsa itu bagi kali ke-12.
Ketika AUPF berlangsung, pemimpin dan wakil kepimpinan dari 68 institusi di 17 buah negara telah mengambil keputusan agar wujudnya usaha mempromosikan program yang bertujuan untuk membangunkan kompetensi berbilang bahasa, meningkatkan pemahaman kepelbagaian budaya dan memupuk kebolehan kreatif.
Manakala Asian Faculty Workshop (AFW) pula diilhamkan oleh GuangDong University of Foreign Studies (GDUFS) pada 2019 juga di bawah kerangka AUPF dengan matlamat untuk mempromosikan komunikasi dan mengeratkan hubungan antara anggota fakulti bagi universiti-universiti Asia dengan UniMAP menjadi tuan rumah kali ke-2 serentak dengan ASP 2021.
Sedikit berbeza daripada ASP, AFW disertai enam buah universiti dari enam buah negara itu yang terdiri daripada golongan akademik berlangsung selama lima hari bermula 25 hingga 29 Ogos dengan memberi tumpuan kepada “Education & Technology” bagi membolehkan para peserta meningkatkan kemahiran dan kecekapan mereka mengajar kursus dalam talian berikutan pembelajaran digital dalam era pendidikan Revolusi Industri 4.0 (IR 4.0).
Universiti berkenaan adalah Bangkok University, Dongseo University (DSU), Josai International University (JIU), Petra Christian University (PCU), UniMAP dan GDUFS.
ASP juga turut disertai tenaga pengajar terkemuka yang menawarkan perspektif inovasi dan kursus-kursus yang relevan di Asia di samping peserta berpeluang menimba pengalaman dalam kepelbagaian budaya apabila ASP diadakan di negara yang menjadi ahli AUPF secara bergilir dua tahun sekali.
Pada tahun 2020, UniMAP sepatutnya menjadi tuan rumah bagi kali kedua penganjuran ASP namun kerana pandemik COVID-19 yang melanda global pada tahun itu dan belum pulih sehingga tahun ini, UniMAP komited menganjurkan ASP 2021 dan AFW 2021 secara dalam talian.
Sebelum ini UniMAP pernah menjadi tuan rumah ASP 2014 yang berjaya dilangsungkan secara fizikal selama tiga minggu bermula 5 hingga 23 Ogos 2014 membabitkan penyertaan dari 23 universiti Asia.
Pada ASP 2021, pelajar-pelajar yang terpilih oleh setiap universiti Asia perlu memberi komitmen dengan duduk di hadapan komputer masing-masing di negara mereka bagi mengikuti semua aktiviti yang diadakan secara langsung dari UniMAP bermula 16 hingga 29 Ogos termasuk aktiviti rekreasi seperti Aerobic Fitness Variation, Ayam Didik Music & Dance, Let’s Learn & Play Woodball, Malaysian Martial Arts –Silat, Virtual Cooking, Get To Know Traditional Inang Dance, dan permainan tradisional Sepak Raga Tuju.
Naib Canselor UniMAP Prof Ts. Dr Zaliman Sauli berkata kedua-dua program berkenaan adalah platform tepat bagi mengharungi cabaran dalam pendidikan khususnya ketika pandemik COVID-19 melanda global.
Ujarnya, terdapat banyak manfaat yang boleh didapati oleh pelajar daripada mobiliti maya itu seperti meningkatkan keyakinan diri, kemahiran berkomunikasi dan kemahiran berbahasa.
“Dengan memperkenalkan pelajar ke lingkungan kolaboratif, ini memberi peluang kepada mereka untuk menjadi lebih produktif dalam kerja berpasukan sekaligus meningkatkan prestasi dan kemajuan kerjaya mereka pada masa hadapan,”katanya ketika berucap di Majlis Penutup ASP 2021 dan AFW 2021 secara dalam talian, di sini.
Turut hadir secara dalam talian ialah Presiden Josai International University Prof Dr Kenji Sugibayashi yang bakal menjadi hos ASP 2022 dan AFW 2022, Timbalan-timbalan Naib Canselor dan Pegawai-pegawai Utama UniMAP, Pengarah Pusat Libatsama Antarabangsa (CIE) Prof Madya Dr Tunku Salha Tunku Ahmad dan Pengarah Pusat Pembangunan Kepimpinan Pendidikan Lestari (LEAD) UniMAP, ProfDr Salleh Abd Rashid.
Tambah Prof Dr Zaliman, universiti juga harus memperkuat daya pertahanan sistem pendidikan dengan memberi fokus kepada kemasukan & ekuiti, memperkukuhkan keupayaan untuk pengurusan risiko, memastikan kepemimpinan & koordinasi yang kuat serta mekanisme perundingan & komunikasi.
“Oleh itu, diharapkan menerusi sesi perkongsian semasa AFW 2021 yang berlangsung membolehkan para peserta meningkatkan kemahiran dan kecekapan melaksanakan pengajaran & pembelajaran (PdP) dalam talian kerana pembelajaran digital telah muncul sebagai sesuatu yang sangat diperlukan untuk pendidikan.
“Dalam AFW 2021, penceramah telah berkongsi strategi pengajaran dan aktiviti pembelajaran yang terbukti akan mencetuskan idea kreatif PdP dalam talian yang secara tidak langsung memberi para peserta strategi, teknik, kaedah, dan pendekatan baharu yang akan menjadikan pembelajaran dalam talian lebih berkesan, interaktif dan menyeronokkan,” kata beliau.
Beliau turut mengalu-alukan pelajar-pelajar dan pensyarah universiti yang menyertai ASP dan AFW ke UniMAP bagi meneroka peluang menyambung pengajian atau penyelidikan melalui program Sarjana dan pascasiswazah serta program mobiliti yang lain apabila situasi pandemik COVID-19 stabil.
Sementara itu, Pensyarah Kanan Fakulti Teknologi Kejuruteraan Mekanikal (FTKM) Dr Norshah Aizat Shuaib berkata beliau mengambil peluang menyertai AFW 2021 kerana ingin menambahbaik amalan terbaik berkaitan PdP secara dalam talian.
Ujarnya, AFW 2021 adalah peluang untuk mengetahui amalan terbaik berkaitan pengajaran dalam talian daripada peserta dari pelbagai negara seluruh Asia.
“Perkongsian sepanjang program AFW berlangsung dapat memberi idea baharu dan segar dalam usaha memastikan proses pengajaran berada pada tahap terbaik dan memanfaatkan pelajar,” katanya ketika dihubungi secara dalam talian.
Bagi pelajar Tahun Satu Fakulti Sains Gunaan dan Kemanusiaan (FSGM) Koh Zhe Rong berkata dia menyertai ASP 2021 secara dalam talian dari rumahnya di Permatang Pauh Pulau Pinang.
Ujarnya, peluang berkenaan dimanfaatkan sebaiknya kerana banyak perkara baharu terutama dalam kursus berkaitan usahawan muda dan tidak menyangka untuk memulakan sesuatu perniagaan memerlukan banyak persediaan dan penyelidikan.
“Saya juga memperoleh banyak pengalaman baharu apabila dapat bertukar-tukar idea dengan rakan-rakan dari serata negara untuk menyelesaikan sesuatu tugasan dan cabaran yang diberi,” katanya yang turut meraih Outstanding Award for ASP 2021 Course A (Thinking Skills).
Selain Koh Zhe Rong, pelajar UniMAP Sabrina A/P Pupathy meraih Anugerah UniMAP Prihatin, Outstanding Award for ASP 2021 Course B (Entrepreneurship in Developing Countries for Young Entrepreneurs) diraih Muhamad Akmal Alssad Malek Alsaad manakala bagi Show Us Your Talent ASP 2021 Edition diraih oleh Chin Kuang Yeong serta Martha Melanie Anak Dexion bagi tempat kedua dan ketiga.
Seramai 112 pelajar dari pelbagai negara Asia telah menyertai ASP 2021 manakala AFW 2021 disertai 30 tenaga pengajar.